Aaron-Wooi Yik ketuai kemaraan negara di Jakarta

Iklan
Aaron Chia-Soh Wooi Yik

[DIKEMAS KINI] NAIB juara edisi 2023, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai barisan pemain negara mara ke pusingan kedua Kejuaraan Badminton Terbuka Indonesia selepas menewaskan lawan masing-masing pada Selasa.

Aaron-Wooi Yik yang tumbang kepada wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di final tahun lalu mengesahkan kemaraan selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Joshua Yuan, 21-14, 21-14 di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.

Iklan
Iklan

Kemenangan aksi 26 minit pusingan 32 Super 1000 itu membolehkan Aaron-Wooi Yik, berdepan beregu nombor 21 dunia dari Taiwan, Lu Ching-yao-Yang Po-han.

"Perlawanan hari ini agak mudah sedikit, cuma kami perlu lebih bersedia apabila berdepan Lu-Yang," kata Aaron.

Iklan

Di sebalik itu, paling mencuri tumpuan prestasi beregu lelaki, Man Wei Chong-Kai Wun Tee yang berstatus nombor 20 dunia apabila menyingkirkan cabaran juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae di pusingan 32.

Tampil garang set pertama sebelum tewas 20-22, Wei Chong-Kai Wun bangkit menghenyak Min-hyuk- Seung-jae, berstatus nombor tiga dunia itu, 21-16, 21-17 dalam masa59 minit.

Iklan

Kemenangan itu memperbaiki pencapaian edisi 2023, selepas ditunjukkan jalan keluar awal apabila tewas kepada wakil Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi dalam rubber set 12-19, 15-21,19-21.

Gandingan nombor 15 dunia dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard menjadi ujian karakter dan mental Wei Chong-Wun Tee apabila kedua-dua berentap di pusingan 16.

Bagaimanapun satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Muhammad (ranking 26) tersekat awal apabila tewas kepada Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan.

Hon Jian-Haikal bermula garang menang 21-18 set pertama akur kebangkitan luar biasa lawan nombor sembilan dunia itu apabila gandingan 26 dunia tersebut dijinakkan 16-21, 17-21 dalam masa 55 minit.

Terdahulu pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menewaskan wakil Hong Kong, Ng Ka Long Angus, 21-17, 21-16 dalam masa 40 minit.

Zii Jia akan berdepan pemain nombor 16 dunia dari Hong Kong, Weng Hong yang menyingkirkan Kiran George (India), 11-21, 21-10, 22-20.

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah juga memulakan kempen dengan status nombor 13 dunia dalam aksi bergelut sebelum menewaskan gandingan 43 dunia dari Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui, 21-19, 22-20 dalam tempoh 40 minit.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar awal dari Jakarta selepas ditewaskan wakil Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yu-jung, 21-13, 21-15 dalam masa 32 minit.

Kekalahan gandingan nombor sembilan dunia itu kepada lawan berstatus ranking empat dunia tersebut mengulangi pencapaian sama semasa edisi 2023 ketika tewas kepada wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 17-21, 21-15, 17-21.

Juara Malaysia Masters, Goh Soon Huat-Shevon Lai juga gagal memanfaatkan kelebihan menang set pertama 21-16, apabila dijinakkan kebangkitan wakil Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau, Hong Kong, 17-21, 10-21 dalam masa 43 minit.

Prestasi gandingan nombor 16 dunia itu juga mengulangi pencapaian edisi 2023 ketika tewas kepada wakil tuan rumah, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati apabila tewas 24-26, 17-21 selepas menang set pertama 21-13.

Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang juga antara wakil negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, mengakhiri cabaran setelah tewas kepada pemain nombor tujuh dunia dari China, Wang Zhiyi, 15-21, 17-21.

Edisi 2023, Jin Wei juga tersekat di pusingan awal apabila tunduk straight set kepada jagoan Sepanyol, Carolina Marín, 11-21, 11-21.

Hasrat satu lagi beregu negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong untuk melakukan kejutan ke atas lawan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, gagal biarpun menang set pertama 21-19 apabila dijinakkan 21-14, 21-14 dua set kemudiannya dalam aksi 45 minit.

Sementara itu, cabaran beregu campuran, Choong Hon Jian-Go Pei Kee juga tersekat di pusingan pertama selepas tewas kepada lawan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 15-21, 18-21 dalam masa 35 minit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!