KOTA BHARU - Duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM750,000 yang diperoleh seorang bekas pengurus sebuah syarikat jualan langsung bahagian Pantai Timur habis dalam tempoh tujuh tahun digunakan untuk mengubah suai rumah dan kenduri kahwin anak.
Bekas pekerja swasta terbabit, Abdul Rahman Abdullah, 64, berkata, sebelum itu, duit itu juga susut kerana digunakan bagi menampung kehidupan sepanjang tempoh persaraan bermula pada tahun 2017.
Lelaki itu menjelaskan, dia mengambil keputusan untuk bersara pada usia 57 tahun selepas berkhidmat selama 27 tahun bersama syarikat yang berpangkalan di luar negara itu.
"Saya menerima wang persaraan berjumlah RM750,000 iaitu RM500,000 Akaun 1 manakala RM250,000 Akaun 2.
"Duit itu digunakan untuk mengubah suai rumah kira-kira sebanyak RM200,000 merangkumi pembinaan pagar konkrit, menambah bahagian dapur dan garaj.
"Sebanyak RM70,000 lagi digunakan untuk melaksanakan kenduri kahwin dua anak perempuan pada tahun 2016 dan 2018 manakala selebihnya habis digunakan bagi belanja makan, minum, kos elektrik, air dan internet serta petrol kereta sepanjang bersara,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut bapa lima anak itu, dia mengubah suai rumah kerana ingin memberi keselesaan kepada anak-anak yang sudah berkeluarga ketika pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Ujarnya, kos sara hidup yang tinggi pada masa kini dengan harga barangan yang mahal juga menyebabkan wang persaraan tersebut cepat habis.
"Setiap kali keluar membeli lauk-pauk, perlu ada RM100 atau lebih dan nasihat saya kepada pesara agar perlu berjimat-cermat supaya wang KWSP dapat terus membantu kehidupan selepas tidak bekerja.
"Cuma saya bernasib baik kerana isteri (62 tahun) ialah pesara kerajaan yang menerima sejumlah pencen dan dapat membantu menampung perbelanjaan kami seterusnya dalam menghabiskan usia tua,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!