Kirim doa depan Kaabah guna Google Form

Iklan
Terdetik dalam hati, sebenarnya ada banyak cara untuk kita berbuat baik dan melipatgandakan pahala. Gambar hiasan

HAMPIR kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia sudah pun berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji. Penerbangan pertama bermula 9 Mei lalu, manakala yang terakhir 9 Jun ini.

Alhamdulillah beberapa saudara terdekat Merak Jalanan mendapat jemputan menunaikan Rukun Islam kelima itu, yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang mampu. Seorang sahabat lama Merak Jalanan juga terpilih menjadi tetamu ALLAH SWT tahun ini dan sudah pun berangkat ke sana.

Iklan
Iklan

Merak Jalanan juga teruja melihat hantaran Nur (bukan nama sebenar) di media sosial. Selain gambar dia diziarahi saudara-mara dan juga kenalan, berbondong titipan doa masuk melalui layar alam maya agar Nur diberikan kesihatan ketika menjadi tetamu Sang Pencipta.

Seronok melihat perkongsian itu, Merak Jalanan singgah ke profil rakan lama tersebut. Ternyata sahabat Merak Jalanan ini memang seorang yang istiqamah dalam berbuat kebaikan.

Iklan

Mendapat sahaja jemputan menunaikan ibadah haji, antara hantarannya di laman sosial adalah pautan Google Form untuk kiriman doa daripada sesiapa yang ingin ‘hajatnya’ dipanjatkan di depan Kaabah.

Sebelum ini semasa menunaikan umrah pada awal tahun, Nur juga ada bermunajat di sana sesuai dengan doa-doa yang dikirimkan kenalannya. Mulianya hatimu, sahabat. Terdetik dalam hati Merak Jalanan, sebenarnya ada banyak cara untuk kita berbuat baik dan melipatgandakan pahala.

Iklan

Terkadang ia bukanlah hal yang besar atau rumit untuk dilakukan, namun keinginan untuk berbuat sesuatu yang ikhlas kerana ALLAH SWT, itulah yang sukar diperoleh. Tidak semua orang mampu melakukannya, waima ia sekecil-kecil perbuatan seperti memberi haiwan terbiar makan.

Apa pun, terima kasih Nur. Merak Jalanan doakan semoga dipermudahkan urusan Nur membacakan ratusan doa yang dikirimkan.