Sanggup buat pembedahan bariatrik RM30,000 demi kesihatan

Iklan
Fareez tidak kisah berbelanja lebih untuk menikmati semula kesihatan yang lebih baik. Gambar kanan: Perubahan fizikal Fareez menyebabkan pemuda itu lebih cergas dan tidak mudah letih ketika melakukan aktiviti fizikal.

SHAH ALAM - Pelbagai usaha dan ikhtiar telah dilakukan untuk mengembalikan semula berat badan ideal sesuai dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI), namun kadangkala usaha tersebut tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.

Pempengaruh dan juga penyanyi, Muhammad Fareezuan Adnan atau lebih dikenali sebagai Fareez, 29, berkata, walaupun sudah mencuba pelbagai kaedah, namun penurunan berat badannya tidak konsisten ditambah pula nafsu makan yang tinggi menyebabkan proses tersebut menjadi sukar.

Iklan
Iklan

Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, dia turut mempunyai masalah refluks gastroesofagus atau GERD selain turut menghidap pradiabetes membuatkannya tekad untuk melakukan pembedahan bariatrik.

"Berat badan saya senang sahaja turun, tetapi selepas itu akan naik mendadak dan saya sudah mencuba pelbagai cara termasuk bersenam serta menjaga kuantiti makanan. Sebelum ini pun pernah cuba kaedah klinikal iaitu Allurion Intagastric Balloon atau telan belon, tetap juga tidak boleh.

Iklan

"Saya juga mempunyai masalah GERD yang sangat teruk dan perlu makan kerap untuk elak daripada sakit perut ditambah pula Malaysia memang banyak makanan sedap.

"Kos untuk membuat pembedahan menelan perbelanjaan hampir RM30,000 dan itu semua termasuk sesi konsultasi, ubat dan sebagainya.

Iklan

"Saya buat keputusan ini kerana inginkan penyelesaian kekal dan sejujurnya saya tidak kisah untuk keluarkan duit demi kesihatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Fareez pernah membuat hantaran video di TikTok dan Instagram mengenai perjalanannya selepas membuat bariatrik dan rata-rata netizen sangat mengagumi semangat anak muda itu menikmati kehidupan lebih sihat.

Susulan itu, berat badannya juga turun sebanyak enam kilogram (kg) dalam tempoh enam hari sehingga bentuk fizikal pemuda itu turut berubah.

Mengulas lanjut, menurut Fareez, setiap proses yang dilalui selepas pembedahan tersebut dinikmati dengan baik tanpa sebarang tekanan lebih-lebih lagi nafsu makan semakin terkawal.

Tambah beliau, selain berat badan turun melebihi 20kg, kadar gula dalam badan juga sudah kembali normal seperti sediakala dan perkara tersebut sangat menggembirakannya.

"Selepas buat pembedahan memang berbeza. Misalnya kalau lapar saya nak makan tiga ketul ayam tapi bila saya ambil satu, makan setengah pun tak habis dan sudah kenyang. Perkara itu tak menyedihkan saya tapi saya seronok.

"Orang Malaysia memang suka makan. Sekarang mungkin okay tetapi nanti kalau dah sakit baru nak menyesal pada waktu itu sudah tak ada guna lagi. Pesan saya jaga-jaga dengan makanan yang dimakan. Tak perlu pun buat bariatrik, kalau boleh kawal nafsu makan lagi bagus,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!