Kontraktor penyelenggaraan, anak saudara mengaku salah gaduh di tempat awam

Iklan
Aik Kah (kiri) dan Boon Par mengaku bersalah bergaduh di tempat awam pada 1 Jun lalu.

GEORGE TOWN - Seorang kontraktor penyelenggaraan dan anak saudaranya dihadapkan ke mahkamah majistret di sini pada Rabu kerana bergaduh di tempat awam.

Tertuduh, Eww Boon Par, 55 dan Adam Tan Aik Kah, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Boon Par dan Aik Kah dituduh bergaduh serta bertengkar di hadapan Maga Restaurant (sebelah snooker) di Jalan Van Praagh, Jelutong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 1 Jun lalu.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ng Ziyang.

Syairah Aqilah kemudiannya menawarkan jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh.

Iklan

Ziyang dalam rayuan memohon agar kedua-dua anak guamnya diberikan jaminan yang minimun berikutan mempunyai tanggungan keluarga.

"Saya mohon kurangkan jaminan terhadap Boon Par kerana tertuduh sudah berusia 55 tahun dan telah bercerai. Bagaimanapun, dia perlu menjaga seorang anaknya. Selain itu, dia juga mengidap beberapa jenis penyakit antaranya tiroid dan kolesterol tinggi.

"Sementara itu, bagi Aik Kah pula, dia hanya bekerja sebagai pembantu gerai. Walaupun belum berkahwin, dia perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua. Mohon kedua-dua anak guam saya diberi jaminan yang rendah," tambahnya.

Mohamad Azlan kemudiannya menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kes ditangguh sehingga 22 Julai untuk serahan dokumen dan tarikh jatuh hukum terhadap kedua-dua tertuduh.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dan anak saudaranya ditahan selepas didapati bergaduh di sebuah kedai makan di Jelutong di sini, pada 1 Jun lalu.

Hasil siasatan polis mendapati, pergaduhan itu berpunca apabila lelaki tersebut yang berada di bawah pengaruh alkohol telah membuat kacau di kedai makan tempat anak saudaranya bekerja.

Tindakan lelaki itu telah menimbulkan kemarahan anak saudaranya menyebabkan anak saudaranya telah memukulnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!