Aktivis NGO didakwa peras ugut warga asing

Iklan
Azli dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani.

SUNGAI PETANI - Seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO) didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas tuduhan melakukan pemerasan kepada seorang warga asing pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Azli Alias, 46, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M Kalaiarasi pada Rabu.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang warga asing, Shah Fahad bahawa satu bencana iaitu kecederaan akan berlaku kepadanya sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM3,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Oktober 2023 jam lebih kurang 7.30 petang bertempat di sebuah kedai runcit di Bandar Perdana, Sungai Petani.

Iklan

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya S Preeyaa manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Nur Islam Yahya.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagaimanapun peguam tertuduh dalam rayuannya memohon agar wang tersebut dikurangkan atas alasan tertuduh yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan bergaji RM1,500 perlu menyara isteri dan sembilan anak selain ibu yang sedang sakit.

Kalaiarasi bagaimanapun membenarkan wang jaminan dikurangkan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan agar tidak mengganggu dan mendekati pengadu sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Jun depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Azli yang dipercayai ketua aktivis sebuah NGO di Kedah, aktif menjalankan kegiatan membanteras pendatang asing tanpa izin di sekitar lokasi di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!