RTM rehatkan Don Daniyal dari siaran Salam Baitullah

Iklan
Tangkap layar hantaran Suhaimi menerusi X pada Rabu. Gambar kecil: Don Daniyal

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid, 39, direhatkan daripada terus bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, tindakan itu diambil bagi meredakan keadaan susulan Don Daniyal yang dikritik oleh beberapa pihak berikutan dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Iklan
Iklan

"Untuk meredakan keadaan, saya telah minta pasukan untuk rehatkan Ustaz Don dari Salam Baitullah,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Rabu.

Sebelum ini, semasa bersiaran di sebuah stesen radio, Don Daniyal mendakwa Nabi Muhammad SAW pernah melamar seorang wanita iaitu Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Iklan

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, kisah tersebut benar, namun ia hanya ditolak sekali sahaja pada tahun pembukaan kota Mekah sewaktu Ummu Hani baharu memeluk Islam manakala dua lamaran yang berlaku sebelum Islam tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah.

Pada Selasa, Suhaimi turut menjelaskan bahawa tugas Don Daniyal dalam rancangan tersebut sebagai juruacara dan bukan penganalisis atau penceramah.

Iklan

"Beliau juga dinasihatkan agar tidak mengundang kontroversi. Beliau akur. Pimpinan tertinggi barisan pengarang juga ada di lokasi bagi menentukan semua juruacara mengikut skrip. Kita doakan yang baik-baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan di ruangan komen mendapati bahawa pengguna X menyokong tindakan tersebut.

Salah seorang pengguna X, @sazwanajmi memuji tindakan yang dilakukan pihak RTM berikutan ia bukan kali pertama kenyataan pendakwah tersebut disanggah.

"Keputusan yang bagus tuan, pasukan RTM kena selidik dahulu sebelum panggil ustaz-ustaz selebriti ini. Bukan sekali dua ustaz ini kena sanggah.

"Banyak lagi ustaz lain yang baik ilmunya dan berperwatakan menarik yang boleh diketengahkan stesen televisyen,” katanya.

Seorang lagi pengguna X, @x_abe81 turut bersetuju dengan langkah tersebut dan mencadangkan supaya meletakkan pendakwah berkenaan di tempat yang sepatutnya bersesuaian dengan latar pendidikan beliau.

"Ustaz Don ini setahu saya latar pendidikannya belajar di Shoubra, Mesir di mana tempat rakyat Malaysia belajar ilmu al-Quran.

"Jadi, pandangan saya, sebaiknya letak Ustaz Don di tempat yang beliau kuasai,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!