KUANTAN - Seorang warga emas yang dilarikan bersama kereta jenis Honda City milik anaknya di stesen minyak Semambu pada Isnin lalu, mengakui tidak trauma, namun masih terkejut dengan insiden tersebut.
Pesara guru, Napisah Muhammad, 68, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan tanpa diduga, apabila seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba memasuki kenderaan dan melarikannya.
Menurutnya, namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan selepas dilepaskan lelaki terbabit pada jarak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.
"Kejadian ini menjadi ia satu pengalaman kepada saya dan dapat mengajar (memberi pengajaran) kepada orang lain supaya (lebih) beringat.
"Kalau boleh tutuplah (kunci) pintu atau matikan enjin supaya tidak menjadi kes seperti ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menceritakan semula kejadian tersebut, Napisah yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur memberitahu, dia berada di tempat duduk penumpang hadapan selepas menghantar cucunya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan di sini dan mahu pulang ke Kuala Lumpur.
Katanya, namun sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, anak perempuan Norhalina Mohamed, 38, dan suaminya Mohamed Halim,77, telah keluar daripada kenderaan.
Jelasnya, bagaimanapun lelaki terbabit terus masuk dan meminta dirinya diam sebelum melarikan kenderaan itu.
"Lelaki itu masuk secara tiba-tiba dan duduk di sebelah makcik (tempat duduk pemandu). Ketika itu makcik cuba lari tapi dia (suspek) pegang makcik.
"Dia pegang bahu makcik sambil jerit 'kau diam'. Makcik cuba keluar dan jatuhkan bag, tetapi ketika itu dia telah pecut kereta. Makcik nampak anak kejar kereta,” luahnya lagi.
Ibu kepada tiga anak itu, memaklumkan lelaki berkenaan memegang bahunya supaya tidak terjun daripada kereta tersebut.
Bimbang dibawa lebih jauh, Napisah akui terus meronta untuk keluar daripada kereta dalam keadaan pintu kereta terbuka sebelum suspek bertindak memperlahankan kereta di kawasan kedai tidak jauh dari stesen minyak terbabit.
"Sampai dekat jalan besar, dia (lelaki itu) masuk simpang kiri dan terus masuk ke kawasan premis kedai sebelah kiri.
"Selepas itu, lelaki itu cakap kau nak keluar, kau berambus dan perlahankan kereta sebelum menolak makcik keluar dari kereta," ceritanya yang tidak mengalami kecederaan disebabkan kejadian itu.
Dalam pada itu, Napisah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membantu menyelesaikan kes tersebut.
"Difahamkan lelaki terbabit (suspek) telah ditangkap, Alhamdulillah, kereta pun mungkin boleh dapat dalam masa terdekat. Ini semua doa semua orang," katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.10 petang Selasa, warga emas itu bersama anaknya dan menantunya menaiki kereta singgah di stesen minyak.
Sebaik anak perempuan keluar dari kereta, suspek masuk dan melarikan kenderaan itu ketika warga emas itu berada di tempat duduk penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, anggaran kerugian yang dialami pemilik kereta iaitu seorang akauntan berusia 38 tahun adalah sekitar RM94,000.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian awam apabila tular satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 55 saat memaparkan kejadian tersebut di kongsi menerusi Aplikasi Whatsapp.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!