KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung penulisan kolumnis, Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem 'apartheid' telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara (AGC), pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah selesai mengambil keterangan Andrew Sia.
"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat AGC pada 4 Jun (semalam). Kita masih menunggu arahan lanjut berkaitan kes itu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Jumaat lalu, Razarudin dilaporkan berkata, sebanyak 63 laporan polis diterima, selain merakam percakapan 65 individu bagi membantu siasatan kes dakwaan UiTM mengamalkan sistem apartheid.
Beliau dilaporkan berkata, ia membabitkan 63 individu yang membuat laporan polis di seluruh kontinjen di seluruh negara serta dua individu daripada portal berita tempatan.
24 Mei lalu, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Andrew Sia berkaitan penulisannya dalam sebuan portal mendakwa UiTM mengamalkan sistem 'apartheid'.
Ia susulan laporan pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik berusia 37 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Laporan polis dibuat menyatakan artikel berkenaan tidak adil, bersifat prejudis dan menyentuh sensitiviti kaum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!