Jatronics bukan syarikat pengeluar semikonduktor di Malaysia - MITI

Iklan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan bahawa Jatronics Sdn Bhd bukanlah pengeluar semikonduktor di Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, MITI berkata, Jatronics ialah syarikat perdagangan Malaysia yang terlibat terutamanya dalam"perdagangan/perdagangan borong semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi”.

Iklan
Iklan

Kementerian itu berkata, Jatronics telah didakwa membekalkan komponen elektronik kepada firma Rusia yang berkaitan dengan industri ketenteraan dan baru-baru ini telah dimasukkan ke dalam senarai sekatan unilateral Amerika Syarikat (AS).

"MITI ingin menekankan bahawa tindakan Jabatan Perbendaharaan AS terhadap Jatronics adalah sebahagian daripada sekatan yang lebih luas yang menyasarkan 300 entiti daripada pelbagai negara, termasuk China, Belgium, Türkiye, Slovakia, dan Emiriah Arab Bersatu, berhubung dengan Konflik Rusia-Ukraine," katanya.

Iklan

Malaysia menguatkuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010), yang mengawal selia eksport, transit, pemindahan dan pemberian konsesi barangan strategik, khususnya yang berpotensi digunakan untuk membangunkan senjata ketenteraan yang canggih, katanya.

"STM memerlukan syarikat pengeksport dan mereka yang berada dalam rantaian bekalan untuk melakukan segala usaha yang diperlukan bagi mengetahui maklumat penting iaitu destinasi akhir, pengguna akhir dan penggunaan produk.

Iklan

"Berdasarkan rekod, Jatronics bukanlah syarikat berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport di bawah akta ini," tambahnya.

MITI juga ingin menjelaskan bahawa Malaysia mematuhi sekatan multilateral dan mengguna pakai"senarai pengguna akhir yang terhad atau dilarang” di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).

"Rusia tidak disenaraikan oleh UNSCR dan oleh itu tidak termasuk di bawah STA 2010. Memandangkan cabaran dalam rantaian bekalan global dan sekatan unilateral, MITI menasihatkan syarikat supaya mengetahui senarai sekatan yang dikenakan oleh negara-negara lain, seperti AS," katanya.

MITI juga menggesa para pengeksport untuk berwaspada dan sentiasa mengambil maklum mengenai sebarang langkah-langkah yang membataskan perdagangan dan sekatan unilateral yang dikenakan oleh rakan perdagangan utama untuk memastikan mereka tidak akan dikenakan sebarang sekatan atau halangan bukan tarif lain.

Ia memaklumkan bahawa kementerian itu telah berkomunikasi dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai sekatan unilateral AS, sambil terus meningkatkan pemantauan urus niaga perdagangan antarabangsa pengeksport dan pengeluar Malaysia.

"MITI juga akan meneruskan libat urus dan kerjasama dengan rakan-rakan perdagangan utama untuk menangani kebimbangan, menyatakan pegangan berkecuali Malaysia, dan memastikan bahawa keputusan ekonomi kita adalah untuk terus mempromosikan persekitaran perdagangan global yang selamat dan terjamin," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!