SUBANG JAYA - Seramai 200 usahawan akan menyertai FAMA Fest 2024 @ Selangor yang diadakan bermula 27 Jun hingga 30 Jun ini di pekarangan AEON Bukit Tinggi, Klang.
Pengarah FAMA Selangor, Aiada Abdul Rashid berkata, program bertujuan mempromosikan produk asas tani itu menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus bagi pembelian Agro Madani.
Menurutnya, FAMA Fest atau nama penuhnya Fruit, FLower dan Food Fiesta ini bakal menghimpunkan program Jualan Agro Madani, Industri Makanan Asas Tani (IMAT), pemeran jabatan dan agensi, Kebuniti dan MyGAP, coffee corner, florikultur, empayar makanan dan trak makanan dalam satu karnival.
"Antara program yang akan diisi selama empat hari tersebut termasuk pemadanan perniagaan kepada pengeluar, petani serta usahawan berpotensi bagi pemasaran produk ke United Kingdom, Hong Kong dan Kemboja.
"Turut dianjurkan kursus teknologi tanaman rock melon, santai agropreneur muda bersama Coach Wan Fatin Sufina serta pertandingan memasak nasi ambeng yang menjadi signature makanan tradisi Selangor," katanya pada sidang akhbar di pejabat FAMA Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, FAMA Selangor menyasarkan nilai jualan sebanyak RM750,000 dengan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung sepanjang program tersebut berlangsung.
Ujarnya, Selangor menjadi negeri keempat menganjurkan FAMA Fest 2024 selepas Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.
Katanya, perasmiannya akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Sejumlah 20 metrik tan jualan komoditi segar berupa buah-buahan antaranya durian, nanas, rock melon dan golden melon selain sayur-sayuran ditawarkan kepada pengunjung.
"FAMA Fest 2024@Selangor turut menawarkan 1,000 kombo Madani menarik membabitkan pelbagai produk keperluan seperti sayur, bawang, minyak dan telur yang dijual hanya RM10 dan mendapat penjimatan harga RM5 bagi setiap pembelian," katanya.
Pada tahun ini, FAMA Fest dilaksanakan di lapan negeri yang memberi manfaat kepada 580 usahawan dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM7. 3 juta dengan jangkaan 500,000 pengunjung akan memeriahkan program berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!