Speaker perlu isytihar kosongkan kerusi - Razali

Iklan
Razali

KUALA TERENGGANU - Speaker Dewan Rakyat perlu mengisytiharkan kekosongan kerusi susulan keahlian enam ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tergugur secara automatik.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menjelaskan Speaker tidak boleh menolak notis kekosongan tersebut mengikut perlembagaan ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Ada peguam, penganalisis politik buat ulasan tentang pengosongan kerusi itu. Biarlah mereka nak ulas...isu dia sekarang melibatkan perlembagaan parti dan Speaker.

"Saya berpendapat Speaker tak boleh nak buat helah lagi dah. Kita dah luluskan pindaan perlembagaan.

Iklan

"Jadi ini bermaksud kita sudah buat ikut tata tertib. Speaker ada satu jalan sahaja sekarang iaitu kena isytiharkan kosongkan kerusi (Parlimen)," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Dialog Penggiat Seni Budaya di Kompleks Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Razali mendakwa tindakan Speaker tidak mengisytiharkan pengosongan kerusi Parlimen itu dikhuatiri menimbulkan polemik terhadap kedaulatan undang-undang.

Iklan

"Jika sebaliknya berlaku makna dia sudah cemarkan demokrasi berparlimen di negara ini.

"Ini bermaksud kerajaan takut nak laksanakan Akta Anti Lompat Parti, kalau berlaku helah," dakwanya.

Sebelum ini, Razali memaklumkan Bersatu akan menghantar notis kekosongan kerusi Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat, selepas keahlian enam ahli Parlimennya digugurkan secara automatik pada akhir bulan lalu.

Razali menyatakan notis kekosongan kerusi enam Parlimen itu akan dihantar Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, notis kekosongan kerusi kepada Johari akan dihantar selepas enam ahli Parlimen berkenaan gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan.

Ujar Razali, notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!