KELAB Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda) menghargai pertimbangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang telah mengubah masa sepak mula pusingan Piala FA 2024-2025 di antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Bukit Tambun (BT) FC dari jam 6.30 petang kepada 9 malam pada 14 Jun ini.
Pengerusinya, Nor Hasmadi Hamzah berkata, penganjur utama Liga Malaysia itu diharapkan akan lebih peka dengan isu sensitif dalam memutuskan sebarang keputusan demi kepentingan semua pihak dalam memeriahkan lagi saingan bola sepak di negara ini.
Menurutnya, penyokong Sang Kenari lega dengan keputusan yang dibuat oleh MFL selepas mengambil kira rungutan penyokong melalui saluran media dan juga media sosial sejak Selasa.
"Kepda mengucapkan ribuan terima kasih kepada MFL di atas keprihatinan mereka di dalam mendengar luahan dan cadangan yang diberikan oleh para penyokong.
"Sebagai penganjur liga bola sepak terbesar di negara ini, MFL perlu peka dengan semua isu-isu sensitif agar tidak merencatkan sokongan penyokong kepada pasukan kesayangan mereka.
"Perlawanan ini juga penting buat KDA FC kerana sedang berusaha untuk mencari dana bagi menampung kewangan semasa mereka dan perubahan masa sepak mula jam 9 malam pastinya berita positif buat Sang Kenari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
MFL dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, waktu sepak mula perlawanan KDA FC melawan BT FC pada 14 Jun ini telah dikemas kini dari jam 6.30 petang ke 9 malam.
Menurutnya, walaupun waktu sepak mula sebelum ini telah dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan, kemas kini ini adalah merujuk kepada sensitiviti waktu solat Maghrib di Kedah.
Terdahulu, Kepda telah memohon kepada MFL untuk mempertimbangkan kembali masa sepak mula perlawanan KDA FC dan BT FC pada jam 6.30 petang di Stadium Darul Aman pada 14 Jun ini.
Kepda berkata, rata-rata penyokong Sang Kenari tidak bersetuju dengan masa tersebut kerana perlawanan berlangsung hampir dengan waktu Maghrib.
Menurutnya, biarpun stadium tersebut disediakan kemudahan surau, namun tempoh masa yang singkat selepas tamat separuh masa pertama akan memberikan kesukaran kepada penyokong untuk menunaikan solat Maghrib.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!