Peniaga baharu, pengusaha IKS tertinggi ingkar daftar caruman pekerja

Iklan
Ismail (duduk, kiri) bersama penerima pada Program Penyerahan Tajaan SKSSR di Pejabat Penyelaras Parlimen Sungai Besar pada Rabu.

SABAK BERNAM - Peniaga baharu dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Lembah Klang antara majikan tertinggi dikesan masih ingkar mendaftar caruman pekerja.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi pemeriksaan yang dijalankan terhadap 1,000 majikan sepanjang Bulan Pemutihan sejak 15 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, alasan diberikan majikan antaranya tiada masa dan tidak mengetahui kewajipan membuat caruman.

"Saya mengingatkan semua jenis perniagaan termasuk IKS dan baru beroperasi wajib mencarum walaupun hanya mempunyai seorang pekerja," katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Tajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Pejabat Penyelaras Parlimen Sungai Besar di sini pada Rabu.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, PERKESO tidak berkompromi dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka selepas berakhirnya tempoh lanjutan pemutihan pada hujung bulan ini.

Menurut Ismail, semua majikan perlu menggunakan tempoh kurang empat minggu ini untuk mendaftarkan pekerja masing-masing.

Iklan

"Walaupun peniaga pasar malam, mereka perlu membuat caruman sekiranya hanya mempunyai seorang pekerja.

"Kewajipan itu turut meliputi peniaga baharu sama ada berstatus syarikat atau premis kecil," jelas beliau.

Tegas beliau, operasi secara besar-besaran akan dilaksanakan pihaknya bagi mengesan majikan yang mengingkari Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Terdahulu, media melaporkan tempoh pendaftaran dan caruman pekerja oleh majikan sempena Bulan Pemutihan dilanjutkan selama sebulan sehingga 30 Jun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, lanjutan tempoh itu susulan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 31.8 peratus atau 7,370 majikan berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

Bagi pendaftaran pekerja baharu warga tempatan dan asing, ia meningkat 34.1 peratus yang meliputi seramai 126,041 orang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!