Dr Wan Azizah gesa Puspanita tingkat jalinan kerjasama

Iklan
Dr Wan Azizah berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita di Puspanitapuri hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) perlu meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan setiap inisiatif dilaksanakan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

Penaung Puspanita, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata persatuan itu berjaya melaksanakan 1,443 program dan aktiviti di peringkat kebangsaan dan cawangan di seluruh negara termasuk aktiviti turun padang dan pembinaan masyarakat pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sepertimana digariskan dalam gagasan Malaysia Madani, pembangunan fizikal harus diseimbangkan dengan pembangunan insan dan setiap sumber yang digunakan mesti mendatangkan pulangan berbaloi dan bermanfaat kepada kumpulan sasar.

"Setiap teras Malaysia Madani membawa seribu satu nilai positif yang diperlukan untuk membangunkan Malaysia yang lebih baik dengan kerjasama semua pihak di setiap peringkat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita ke-42 di sini hari ini.

Iklan

Dr Wan Azizah turut memuji kemampuan Puspanita membangunkan pelbagai sistem untuk kegunaan dalaman yang membuktikan ia pertubuhan berdaya saing dan sentiasa berusaha melakukan pelbagai penambahbaikan.

Beliau berkata, Puspanita juga perlu memanfaatkan kemajuan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) serta memainkan peranan lebih signifikan dalam segenap aspek pembangunan negara.

Iklan

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan Puspanita kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan melancarkan Buletin Puspanita Mendepani Cabaran edisi kelapan.

Turut hadir Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Norizam Che Mohd Nor.

Sempena mesyuarat itu, Puspanita turut mengadakan PUSPANITA-Biz and Sidang Kemuncak Digital dengan tema Let’s Go and Grow with Digital. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!