JAKARTA - Presiden Joko Widodo, yang juga dikenali sebagai Jokowi, menyatakan keyakinannya untuk memulakan kerja di pejabat baharu di Nusantara, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur pada Julai.
"Insya-ALLAH, ia akan siap. Saya sangat optimis mengenai pejabat ini," katanya, seperti yang dipetik oleh Biro Perhubungan Awam, Media dan Informasi Sekretariat Presiden dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata satu-satunya keperluan yang tinggal adalah pemasangan bekalan air.
Dalam lawatan kerjanya ke wilayah itu sejak Selasa, beliau melihat kemajuan pembangunan beberapa infrastruktur fasa pertama di Nusantara mencapai kira-kira 80 peratus.
Jokowi juga memeriksa tapak untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-79 republik itu yang akan diadakan di sana pada 17 Ogos, dan menyatakan semua persiapan dan tempat hampir siap.
"Kami telah memeriksa semuanya dari lokasi hingga urutan upacara dan semuanya baik," katanya.
Seorang pegawai dari Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Rakyat, Diana Kusumastuti menyatakan bahawa pembinaan Istana Presiden di Nusantara berjalan mengikut seperti yang dirancang untuk disiapkan pada Julai.
"Bahagian dalaman perlu siap selewat-lewatnya akhir Julai supaya pada 1 Ogos, Istana boleh digunakan untuk peringatan nasional sehingga 17hb," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!