Dua bentuk rebat untuk semua pengguna air Pulau Pinang

Iklan
Foto hiasan. Gambar kecil: Zairil

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan memberi rebat RM20 kepada pengguna air dengan isi rumah besar berpendapatan RM5,000 ke bawah dan percuma 10,000 liter air pertama bagi setiap bil selama enam bulan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bersidang pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam mesyuarat itu juga, kerajaan negeri bersetuju untuk meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar (lapan orang dan ke atas) dengan pendapatan RM5,000 ke bawah iaitu peningkatan daripada RM2,250.

"MMK Pulau Pinang yang bersidang pada hari ini telah memutuskan untuk mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) memberi rebat kepada rakyat Pulau Pinang dalam bentuk air percuma sebanyak 10,000 liter air pertama bagi setiap bil selama enam bulan.

Iklan

"Ia akan berkuatkuasa pada Julai sehingga Disember tahun ini. Dengan rebat tersebut, semua pengguna air domestik akan menikmati rebat sebanyak RM6.20 pada setiap bil," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zairil menambah, sekiranya pengguna tergolong dalam band pertama, mereka hanya perlu membayar RM6.20 (RM12.40 tolak RM6.20) untuk dua bulan.

Iklan

"Sementara pengguna dalam band kedua yang dibil sebanyak RM30, hanya perlu membayar RM23.80 untuk dua bulan," jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Pulau Pinang mengambil maklum rintihan mengenai kadar tarif air domestik baharu yang dilaksanakan sejajar dengan pelarasan semula tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuatkuasa pada Februari lalu.

"Walaupun Pulau Pinang masih lagi menikmati tarif kedua terendah di negara dengan tarif baharu ini, masih ramai yang mengeluh kerana peningkatan mendadak berbanding tarif terdahulu yang tidak diselaraskan selama 31 tahun bagi band pertama (20 meter padu) dan sembilan tahun bagi band-band lain.

"Kerajaan negeri berharap agar bantuan air percuma kepada semua pengguna di negeri ini selama enam bulan serta rebat RM20 kepada isi rumah besar dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah ini akan membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.

Sebelum ini, kadar tarif air domestik di Pulau Pinang naik berganda bermula 1 Februari lalu yang mana pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikenakan 50 sen setiap meter padu, berbanding kadar terdahulu 22 sen.

Pengguna yang menggunakan 20 hingga 35 meter padu air sebulan akan dikenakan RM1.10 setiap meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu akan dikenakan RM2 setiap meter padu, berbanding kadar semasa masing-masing 46 dan 68 sen.

Susulan kadar baharu itu, ramai pengguna di Pulau Pinang terkejut dengan peningkatan kadar bil bekalan air dengan kebanyakan meningkat lebih 100 peratus sehingga lebih 150 peratus sejak Februari lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!