IPOH - Lambakan pseudosains atau sains palsu di media sosial mengenai kanser payudara menjadi antara punca terbesar ramai wanita takut menjalani pemeriksaan mamogram.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Profesor Madya Dr M Murallitharan berkata, perkara itu telah membina kepercayaan karut dalam kalangan wanita tanpa mengira latar belakang termasuk yang berpendidikan tinggi.
Menurutnya, dapatan daripada kajian dijalankan menunjukkan mereka percaya bahawa dengan melakukan mamogram akan mendapat kanser, malah lebih teruk menganggap rawatan radioterapi dan kemoterapi membuatkan keadaan pesakit lebih teruk dan tidak hidup lama.
"Pada dasarnya ia hanyalah kenyataan palsu, tetapi menjadi popular (dikongsi di media sosial) sehingga ramai orang bercakap dan menjadikannya satu kepercayaan.
"Inilah cabaran yang terpaksa kita hadapi, sedangkan sekiranya dirawat, pesakit boleh jalani kehidupan dengan lebih baik kerana ada penghidap kanser yang dikesan tidaklah berada di peringkat yang teruk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Fasa ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa bersama NCSM di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.
Pelancaran disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Pengerusi Etiqa International Holdings, Datuk R Karunakaran.
Dr Murallitharan berkata, oleh kerana wujudnya mentaliti sedemikian, NCSM bersama 50 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan keterlibatan bersama komuniti seperti sesi kaunseling berkumpulan berhubung kesedaran rawatan awal kanser payudara.
Katanya, program itu diperkuat dengan perkongsian penghidap kanser untuk memberi lebih keyakinan kepada masyarakat.
"Setakat ini ada 15 program di seluruh negara yang mana kita akan latih doktor, jururawat, pelajar perubatan dan bidan bertindak sebagai pempengaruh komuniti.
"Peranan kumpulan ini adalah untuk meyakinkan masyarakat sekitar, mengatasi ketakutan dan menghindar mereka daripada kepercayaan berita palsu berkaitan kanser ini," katanya.
Sementara itu, dalam sembah ucapannya, Dr Murallitharan berkata, seramai 27,500 wanita di negara ini telah menerima manfaat program pemeriksaan mamogram secara percuma di bawah program NCSM dan Etiqa sejak 2017 membabitkan perbelanjaan RM9.7 juta.
Ujar beliau, pada fasa kelima lalu, Etiqa dengan bermurah hati menyumbang sebuah trak kesihatan dikenali Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa kepada pihak NCSM yang sehingga kini berjaya menyaring seramai 50,000 individu bagi kanser payudara, serviks dan prostat.
"Pada fasa ke-6 ini, NCSM menyediakan buku panduan 'Essentials of Breast Cancer Screening and Early Detection: An Implementation Manual for Healthcare Professionals' dan laman sesawang penyimpanan rekod saringan kanser kebangsaan 'National Cancer Screening Registry'.
"Terbitan ini bertujuan memperkasa golongan profesional kesihatan dengan maklumat dan sumber yang diperlukan bagi meningkatkan keberkesanan saringan dan pengesanan kanser," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!