KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan sifar kes kematian disebabkan denggi, selari dengan komitmen Pelan Strategik Pencegah dan Kawalan Denggi Kebangsaan (2022-2026).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu, KKM telah mengenal pasti intervensi yang efektif dan memperbaiki kelemahan bagi menangani kes denggi.
Bagaimanapun, kata beliau, sebanyak sembilan kes kematian telah dilaporkan pada Februari tahun ini berbanding enam laporan bagi tempoh sama tahun lalu.
Pada masa sama, Lukanisman memberitahu, kes denggi mencatatkan peningkatan sebanyak 86.3 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.
"Perancangan KKM adalah berdasarkan pada tiga elemen teras iaitu mengoptimumkan sistem pengawasan denggi, memastikan akses kepada diagnostik denggi, rawatan dan inisiatif kawalan kualiti dan penyatuan usaha ke arah pencegahan dan kawalan denggi.
"Di samping itu, kami juga komited untuk memperhalusi dua elemen sokongan iaitu memperkukuh faktor pemangkin untuk meningkatkan sistem kesihatan dan mengukuhkan penyelidikan dan inovasi berkaitan denggi.
"KKM telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes dan mengehadkan penularannya,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Denggi Asia ke-7 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, usaha inovatif telah dilakukan oleh KKM untuk memerangi penularan denggi melalui Operasi Nyamuk Wolbachia (WMO) yang bermula pada 2019.
Dalam usaha berterusan itu katanya, KKM juga telah melancarkan portal iDengue di mana maklumat terkini mingguan mengenai kes denggi, kematian dan kawasan hotspot dapat diakses.
"Negara telah mencapai penurunan ketara dalam kadar kematian kes denggi (CFR) daripada 0.63 peratus pada tahun 2000 kepada 0.08 peratus pada tahun 2023 dengan usaha yang rapi dan berterusan di pelbagai peringkat melibatkan pihak berkepentingan negara, negeri dan daerah,” katanya.
Sidang kemuncak itu dianjurkan dengan kerjasama bersama Asia Dengue Voice & Action (ADVA); Fondation Mérieux (FMx); Global Dengue and Aedes Transmitted Diseases Consortium (GDAC); Southeast Asian Ministers of Education Tropical Medicine and Public Health Network (SEAMEO TROPMED); the International Society for Neglected Tropical Diseases (ISNTD) dan Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM).
Hampir 450 pakar denggi terkemuka dari 20 negara berkumpul di Sidang Kemuncak Denggi Asia ke-7 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun, bagi membincangkan idea dan maklumat terkini serta pencapaian mereka dalam pencegahan dan kawalan denggi.
Sementara itu, Pengerusi ADVA, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, sidang itu menawarkan satu platform strategik bagi memberi penggubal dasar ruang untuk membina rangkaian dan belajar mengenai strategi yang berjaya dilaksanakan di negara lain.
"Kemajuan dari segi kawalan vektor, kaedah pemodelan dan vaksin denggi boleh membantu dalam pembentukan pendekatan baharu untuk mencapai objektif kita.
"Pengukuhan kadar pengesanan awal dan pengurusan klinikal merupakan kunci utama bagi mencapai matlamat pengurangan kadar fataliti,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!