PETALING JAYA - Perkembangan baharu berhubung tempoh tahanan reman membabitkan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sama ada dilanjutkan atau sebaliknya, belum diketahui.
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan berkenaan berkata, ia hanya akan diketahui sekiranya pihak polis membuat permohonan lanjutan, di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
"Setakat ini tiada perkembangan baharu, malah saya masih dalam usaha untuk bertemu mereka.
"Saya berharap, dapat berjumpa dan berbincang sebelum Jumaat ini, kerana ia adalah hak bagi mana-mana individu yang ditahan reman, termaktub dalam undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sabtu lalu, ibu bapa kepada, Zayn Rayyan, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember lalu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 8.50 pagi pada Sabtu untuk direman.
Pasangan suami isteri itu yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke mahkamah, direman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan kes pembunuhan anak sulung mereka itu.
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!