SEREMBAN - Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menangani isu pencemaran terhadap Sungai Linggi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil-wakil rakyat di kawasan sepanjang jajaran Sungai Linggi bersama jabatan dan agensi berkaitan.
Menurutnya, menerusi jawatankuasa tersebut satu tindakan bersama dapat diambil bagi mengelakkan pencemaran sungai tersebut berulang pada masa hadapan.
"Hasil maklum balas, wakil rakyat ini bersetuju supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik-pemilik kilang haram," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa mencadangkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menangani isu berkenaan yang kerap berulang berlaku sehingga menjejaskan bekalan air khususnya penduduk di Port Dickson.
Media sebelum ini juga melaporkan beberapa operasi dan serbuan dilakukan oleh beberapa agensi dan jabatan di negeri ini terhadap kilang-kilang haram yang didapati menjalankan aktiviti mencemarkan alam sekitar termasuk memberi risiko kepada pencemaran Sungai Linggi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, menjelang akhir bulan ini, kerajaan negeri mampu mencapai sasaran sifar miskin tegar bagi tahun ini.
"Insya-ALLAH dalam bulan Jun ini kita mampu mengeluarkan baki 77 ketua isi rumah di negeri ini daripada kategori miskin tegar.
"Bagi tahun ini kita ada 1,697 ketua isi rumah berstatus miskin tegar. Tahun lepas ketua isi rumah ada dikeluarkan, namun tahun ini mereka tersenarai semula sebagai miskin tegar.
"Baki 77 ketua isi rumah ini masih lagi dalam senarai kerana menerusi program dan bantuan belum mencukupi untuk mereka keluar dari senarai itu," katanya.
Ujar Aminuddin, usaha untuk mensifarkan miskin tegar tersebut termasuklah menerusi program-program meningkatkan pendapatan ketua isi rumah menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri selain bantuan yang diberikan oleh agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!