Kerajaan kekal pendirian tidak benar kontena Israel masuk pelabuhan negara

Iklan
Fahmi. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia mengulangi pendirian tegasnya yang tidak membenarkan sebarang kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, memasuki pelabuhan negara ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa membuat pemantauan rapi dan tidak akan mengubah pendirian berhubung keputusan yang telah dibuat walaupun kontena syarikat perkapalan itu disewa oleh syarikat lain.

Iklan
Iklan

"Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kita ada mendapat sedikit maklum balas dan penegasan daripada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) bahawa sebarang kontena (syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel) tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan di Malaysia.

"Apa yang berlaku di sempadan Perlis itu adalah selaras dasar kerajaan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Rabu ketika ditanya mengenai cubaan kenderaan dari negara jiran yang membawa kontena tertera logo ZIM memasuki Malaysia melalui laluan darat pada Ahad lepas.

Iklan

Insiden itu menyaksikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis telah menahan dan melakukan pemeriksaan lanjut sebelum mengarahkan kenderaan beserta kontena berisi ayam sejuk beku itu berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan memastikan tiada mana-mana kontena syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel memasuki pelabuhan di seluruh negara kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dan perniagaan secara langsung dengan rejim Zionis itu.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengenai beberapa perkembangan terkini dan maklum balas yang diterima Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia.

Beliau berkata, susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kesuma menyediakan memorandum berkaitan cadangan penubuhan suruhanjaya itu agar keputusan dasar dapat dilaksana.

Semalam, media melaporkan Kesuma akan membentangkan nota pertama mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang membabitkan laporan interim cadangan berkenaan bagi memperoleh kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, Anwar mahu penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig disegerakan kerana ia penting bagi memberi perhatian dan keprihatinan yang lebih kepada pekerja sektor itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!