Populariti PM India menurun

Iklan
Kebanyakan tajuk muka depan akhbar memaparkan kemenangan BJP, namun hilang majoriti. Foto AFP

NEW DELHI - Parti pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan perbincangan dengan sekutu utama untuk menubuhkan kerajaan pada Rabu, selepas gagal meraih majoriti buat pertama kali sejak memegang kuasa sedekad lalu.

Drama politik negara Asia Selatan itu dijangka makin panas berikutan kesemua pemimpin parti dari seluruh spektrum politik cuba untuk mengukuhkan kedudukan dan memperkukuh pakatan mereka, sehari selepas kemenangan kurang memberangsangkan parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Iklan
Iklan

Keputusan akhir pada Selasa membuktikan agenda nasionalis Hindu yang diperjuangkan beliau tidak berjaya memberi kemenangan besar kepadanya meskipun masih diberi mandat untuk menerajui negara itu bagi penggal ketiga yang dijangka lebih mencabar.

Imej BJP sedikit tercalar pada Pilihan Raya Umum kali ini yang berlangsung selama enam minggu di tengah-tengah gelombang haba ekstrem yang meragut puluhan nyawa.

Iklan

Parti tersebut dilaporkan hanya memenangi 240 kerusi berbanding 303 kerusi pada 2019.

Difahamkan, dua penggal sebelum ini BJP berhasil mengekalkan populariti dengan dasar nasionalis yang mendiskriminasikan etnik minoriti terutamanya Muslim secara terang-terangan.

Iklan

Kekalahan memalukan BJP adalah di kerusi Faizabad di Uttar Pradesh setelah Modi pernah mencetuskan kontroversi apabila merasmikan Kuil Dewa Rama yang dibina di atas bekas tapak masjid purba di Ayodhya.

Modi, 73, dengan yakin menyatakan kemenangan yang masih berpihak kepadanya bagi membolehkan beliau meneruskan agenda pentadbirannya.

"Penggal ketiga akan menjadi salah satu keputusan besar buat India. Negara ini akan membuka lembaran baharu pembangunan. Ini adalah jaminan saya,” katanya yang turut disambut sorakan para penyokongnya di ibu kota. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!