SHAH ALAM - Seorang pengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tiga hari di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM20,000, sejak lima tahun lalu.
Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Suspek lelaki yang berusia 40-an ini, ditahan sehingga Jumaat dan siasatan ialah membabitkan kes rasuah, bagi balasan mempercepatkan dan meluluskan permohonan berhubung pengubahsuaian bangunan tanpa melalui prosedur.
Menurut sumber, suspek ditahan pada jam 6 petang, Selasa, ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.
"Kesalahan dipercayai berlaku sejak tahun 2019 membabitkan kes meminta dan menerima wang rasuah wang itu.
"Transaksi tersebut juga dipercayai dimasukkan melalui akaun peribadi daripada kontraktor-kontraktor yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!