KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat anggota pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-panggilan Orang Kurang Upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.
Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan dilakukan itu adalah dari aspek tatatertib melibatkan warga PDRM.
Beliau berkata, mangsa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini pada jam 11 pagi bagi membantu siasatan tatatertib dengan diiringi peguam dan jurubahasa.
"Siasatan masih di peringkat awal dan JIPS akan memanggil saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Menurut Azri, pihak JIPS turut menegaskan akan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa kompromi.
Terdahulu, pada 28 Mei lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan mangsa pada 1 tengah hari mendakwa diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.
Mangsa kemudian membuat laporan kedua pada 9.59 malam hari yang sama menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik dan tidak mahu memanjangkan kes.
Berdasarkan laporan media, mangsa membuat laporan selepas dipukul ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields dan mendakwa ditumbuk di kepala serta diminta mengalihkan kenderaannya.
Susulan itu, pemandu terbabit Ong Ing Keong, 46, membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!