SKUAD bola sepak negara melabuh kempen Kumpulan A, Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) 2024 dengan mengikat Korea Selatan, 0-0 dalam perlawanan di Arena Sukan Azman Hashim (ASAH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Rabu.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Ridzuan Abu Shah mengakhiri kempen di kedudukan ketiga kumpulan dengan empat mata hasil satu menang 3-1 ke atas Filipina, satu seri menentang Korea Selatan dan satu kekalahan 0-1 kepada Oman sekali gus terlepas peluang mara ke pentas empat terbaik.
Mengulas aksi berdepan Korea Selatan, Ridzuan menyifatkannya satu pencapaian membanggakan apabila berjaya mengikat pasukan yang mempunyai rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan awal selain memiliki ketajaman jentera penyudah.
"Sejujurnya kejayaan mengikat Korea Selatan tanpa jaringan satu pencapaian membanggakan ketika kedua-dua pasukan turun dengan misi melakar kemenangan terutamanya pasukan negara.
"Selain itu, tiga edisi sebelum ini pertemuan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan tewas.
"Biarpun begitu, saya akui kekalahan tipis kepada Oman berpunca kealpaan sebelum ini sebenarnya menjejaskan peluang kita untuk mara ke pentas empat terbaik,” jelasnya pada Rabu.
Bagaimanapun Ridzuan gembira apabila anak buahnya bangkit menebus kekalahan kepada Oman dengan persembahan lebih berdisiplin ketika berdepan Filipina dan Korea Selatan selepas itu.
"Dalam kejohanan karnival seperti ini setiap mata adalah penting, kita mempunyai peluang namun bukan rezeki kita edisi kali ini
"Pemain-pemain pun kembali mempamerkan semangat juang dan disiplin tinggi dalam baki dua perlawanan terakhir,” katanya.
Mengenai perlawanan penentuan tempat kelima keenam berdepan Vietnam, Ridzuan menuntut anak buahnya menghadiahkan keputusan istimewa kepada penyokong-penyokong yang memberi sokongan kepada pasukan negara sepanjang kempen itu.
"Kita akan berjumpa Vietnam, tambahan pula sistem rotation kita praktikkan memberi impak positif kepada pasukan. Jadi saya percaya pemain-pemain sudah tahu tanggungjawab masing-masing dalam perlawanan menentang Vietnam pada Jumaat,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!