PENDEDAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen apabila bersara bukan sahaja mengejutkan, malah amat membimbangkan.
Data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menunjukkan satu daripada empat pencarum telah menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.
Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah ketika bersara atau menguruskan risiko apabila umur panjang, menjadikan penduduk berusia tua lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding rata-rata penduduk Malaysia yang lain.
Masalah kemiskinan warga emas perlu dilihat sebagai isu kritikal dan serius dalam tempoh 20 tahun akan datang, lebih-lebih lagi Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043.
Sudah tiba masanya untuk Malaysia melakukan reformasi terhadap rangka kerja pencen dan persaraannya bagi memastikan keselamatan kewangan dan ekuiti untuk semua rakyat Malaysia.
Ada beberapa sebab wang KWSP yang sepatutnya membiayai kehidupan selepas bersara habis dalam tempoh yang singkat, antaranya menyelesaikan hutang pinjaman dan membiayai kos perubatan.
Faktor lain ialah mengubahsuai rumah, menjadi ‘bank’ kepada anak-anak dan ada berniaga atau menyertai skim pelaburan yang tidak bermanfaat sehingga akhirnya mengalami kerugian.
Wang KSWP menjadi ‘penyelamat’ pada usia tua sekiranya diuruskan dan dikendalikan dengan bijak untuk kelangsungan hidup pada masa hadapan.
Perlu difahami objektif KWSP ditubuhkan adalah bagi membantu ahli memiliki simpanan hari tua.
Jangan bazirkan wang tersebut untuk benda-benda tidak berfaedah termasuklah kalau tidak tahu berniaga, jangan berniaga kerana mendedahkan kepada risiko kerugian.
Pada masa sama, penting bagi kerajaan mengambil langkah efektif untuk mengurangkan kemiskinan dalam kalangan warga emas termasuk pelaksanaan dasar persaraan berkesan.
Antaranya memperkasakan lagi program bantuan sosial untuk menyediakan sokongan dan jaringan keselamatan kepada rakyat yang menghadapi masalah kewangan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Skim Bantuan Saraan Rumah (BSHR).
Penyelesaian baharu diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan di belakang dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!