SHAH ALAM - Sikap lalai dan cuai pemilik kenderaan memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan operasi mencuri kereta, sama ada di kawasan awam atau persendirian.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, sikap sambil lewa pengguna yang tidak mengunci kenderaan mereka menyebabkan jenayah itu berlaku dengan mudah.
Menurutnya, walaupun kenderaan tersebut memiliki ciri-ciri keselamatan yang baik, namun sikap tidak berhati-hati dan mengambil mudah, mengakibatkan ia mudah dicuri.
"Jenayah seperti ini biasanya tidak dirancang tetapi sikap sambil lewa pengguna boleh menyebabkan kejadian kecurian kenderaan berlaku.
"Kebanyakan pemilik kenderaan ini ada yang tidak kunci kereta dan suka membiarkan enjin hidup, sama ada untuk ke tandas atau mengisi minyak sehingga memberi peluang kepada penjenayah.
"Kalau kenderaan itu ada ciri-ciri keselamatan sekalipun tetapi jika kita sambil lewa isu keselamatan, ini akan memberi mudarat kepada pemilik kenderaan itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, teknologi kini bukan sahaja membantu mengesan wajah penjenayah tetapi juga memudahkan penyiasatan polis.
"Kejadian kecurian kereta sering berlaku di stesen minyak dan kawasan itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), jadi sebenarnya ia lebih mudah untuk pihak pengurusan bantu mangsa dan polis untuk mengesan penjenayah,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita berusia 68 tahun yang duduk bersendirian dalam kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu, Kuantan telah dilarikan oleh seorang lelaki bersama kenderaan itu, pada Isnin.
Mangsa kemudian ditinggalkan kira-kira 400 meter dari stesen minyak itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 40 tahun telah ditahan pada Rabu.
Menurutnya, suspek diberkas ketika tertidur di sebuah rumah yang dicerobohnya di Kampung Chinta Manis dekat Karak, Bentong.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!