SHAH ALAM - Pemulihan bekalan air bagi tujuh kawasan di negeri ini termasuk Kuala Lumpur berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) mencapai 12.7 peratus, setakat jam 6 pagi Khamis.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai 20 peratus jam 3 petang Khamis diikuti dengan 90 peratus pada jam 3 pagi Jumaat.
Menurut Air Selangor, pemulihan penuh bagi kawasan terlibat dijangka pada jam 12 tengah hari Jumaat.
"Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," kata kenyataan itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sehubungan itu, Air Selangor menyarankan pengguna yang telah menerima bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
"Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar," jelas kenyataan itu.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
Sinar Harian pada 27 Mei lalu melaporkan, Air Selangor menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di LRA SSP1 berikutan peralatan itu telah digunakan sejak tahun 1990 lagi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kerja-kerja utama membabitkan penggantian itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan impak lebih besar pada operasi LRA SSP 1 pada masa depan.
Air Selangor memaklumkan, perlaksanaan kerja-kerja tersebut akan membabitkan pengguna di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!