SETIU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 4,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM12,000 dalam serbuan di sebuah tapak projek pembinaan dekat Kampung Langkap, di sini pada Rabu.
Serbuan tersebut dijalankan oleh empat anggota penguat kuasa KPDN cawangan Besut kira-kira jam 11 pagi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tindakan itu diambil susulan hasil risikan selama dua minggu sebelum ini.
Menurutnya, ketika pemeriksaan, anggota penguat kuasa berjaya menemukan sebuah tangki simpanan berisi kandungan minyak diesel dianggarkan 4,000 liter dipercayai untuk kegunaan jentera berat.
"Pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati pihak syarikat pembinaan tersebut gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.
"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut berhubung kes ini dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram.
Jelas beliau, Individu, syarikat atau pengusaha-pengusaha stesen minyak diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.
"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali
"Bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,"ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, masyarakat disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
Beliau berkata, ia bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi bagi mengekang impak negatif kepada rakyat dan negara.
"KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!