Sambutan Hari TVET Negara 2024

Iklan
Pekerja sedang giat menyiapkan ruang aktiviti permainan robotik sempena sambutan HTN 2024 di ILP Kuala Langat, Banting.

KUALA LANGAT - Selari dengan hasrat menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama kerjaya, orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Jun ini.

Berlangsung selama dua hari, HTN 2024 menawarkan pelbagai pengisian menarik melibatkan bidang TVET yang merangkumi lima hab aktiviti utama iaitu pameran, seminar, karnival kerjaya, keusahawanan serta cabaran TVET.

Iklan
Iklan

Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr Mohd Faizal Tokeran berkata, penganjuran HTN 2024 itu dirangka khusus susulan pengisytiharan tarikh 2 Jun setiap tahun sebagai Hari TVET Negara.

Katanya, selain kemuncak sambutan pada 7 dan 8 Jun 2024, sebanyak 500 program dan aktiviti diadakan sempena HTN 2024 yang mana sebahagiannya telah pun diadakan awal sejak 8 Mei lalu.

MOHD FAIZAL

Iklan

"Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pendedahan mengenai potensi yang boleh dimanfaatkan dalam bidang TVET. Bermula daripada peluang mengikuti pengajian dalam bidang TVET, pengunjung juga boleh meneroka tawaran kerjaya dalam bidang berkaitan.

"Malah, pengunjung boleh merebut 3,000 peluang kerjaya TVET yang mampu membina masa depan mereka dalam karnival kerjaya sempena HTN 2024 yang dikendalikan oleh Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya yang mana karnival itu turut disertai 20 syarikat terkemuka.

Iklan

Mohd Faizal berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau persiapan sambutan HTN 2024 yang akan berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di sini pada Rabu.

Tambahnya lagi, sambutan HTN 2024 turut dimeriahkan lagi dengan pameran aeroangkasa dan permainan robotik, sekaligus membangkitkan keterujaan para pengunjung.

Kemuncak HTN 2024

Ujar Mohd Faizal, selain institusi dan agensi TVET, sebanyak 13 kementerian turut menyertai HTN 2024 bersama-sama institusi swasta meraikan kebersamaan dalam menjayakan agenda transformasi TVET.

Para petugas media mendengar penerangan mengenai persiapan susun atur serta perjalanan sambutan HTN 2024 yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Jun ini.

Malah, beliau menjangkakan seramai 15,000 pengunjung akan hadir memeriahkan program mega HTN 2024 yang turut membuka 45 buah reruai dengan pengisian pelbagai aktiviti.

"Pelbagai kemudahan juga turut disediakan demi keselesaan pengunjung termasuklah tempat meletak kenderaan bagi memudahkan orang ramai yang hadir,” jelasnya.

Pada masa sama, HTN 2024 bakal menyaksikan acara kemuncak iaitu pelancaran Dasar TVET Negara 2030 yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun ini.

"Dasar TVET Negara 2030 akan menjadi panduan kepada semua pihak khususnya yang terlibat dengan bidang TVET melaksanakan program yang lebih efektif dan dinamik, selari dengan tumpuan ekonomi negara.

"Bidang TVET akan memberi nilai tinggi, buka peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih besar sekali gus menarik lebih ramai guna tenaga sektor ini pada masa akan datang,” jelasnya.

Info HTN 2024:

- Kerajaan telah mengisytiharkan tarikh 2 Jun sebagai Hari TVET Negara sebagai menghargai jasa, sumbangan dan kejayaan bidang TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

- Pelaksanaan sambutan Hari TVET Negara 2024 bagi peningkatan kesedaran masyarakat dan kebolehcapaian TVET bagi menjadikan TVET sebagai pilihan utama masyarakat.

Objektif HTN 2024:

- Mewujudkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai dasar, inisiatif dan bidang TVET yang ditawarkan di Malaysia.

- Menarik lebih ramai belia yang berpotensi menceburi bidang kemahiran sebagai pilihan untuk pendidikan dan kerjaya dan memberi peluang kepada agensi awam dan swasta mempromosikan produk dan kursus kemahiran yang ditawarkan kepada umum.

- Menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya serta insentif-insentif yang disediakan oleh kerajaan berkaitan TVET.

- Menghubungkan pelajar, belia, pencari kerja dengan industri sama ada dalam bentuk peluang pekerjaan mahupun mendapatkan penempatan latihan Industri.

- Menjalinkan kerjasama strategik di antara kementerian, agensi dan pihak industri untuk memperkasakan TVET di Malaysia.

- Memberi peluang kepada pelajar sekolah dan komuniti setempat mendekati TVET melalui aktiviti-aktiviti yang dirangka.

Aktiviti menarik sempena HTN 2024:

- Pameran kisah kejayaan graduan.

- Pameran Teknologi oleh industri.

- Seminar Kerjaya TVET.

- Temuduga Terbuka Industri MyFutureJob karnival kerjaya.

- Pameran Produk Usahawan TVET.

- Drone dan Robot Challenge.