Bantuan Budi Madani mula disalur pada 10 Jun

Iklan
Lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi akan menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani setakat Khamis. Foto: Jabatan Penerangan

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani setakat Khamis.

MOF dalam kenyataan memaklumkan, penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama berjumlah RM200 pada 10 Jun ini melalui akaun bank masing-masing.

Iklan
Iklan

Bagi penerima tanpa akaun bank pula boleh menuntut Budi Madani secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

"Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani. Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.

Iklan

"Permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024,” menurut kenyataan berkenaan.

Budi Madani ialah usaha Kerajaan Madani untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) dan syarikat dankenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Iklan

Di bawah Belanjawan 2024, Kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.

Jelas MOF, bagi membendung kenaikan kos sara hidup, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel bersasar kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu manakala bantuan tunai RM200 disediakan kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi yang layak.

"Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu. Seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil juga berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

"Berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan adalah atas sebab tidak memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan. Sebagai contoh, terdapat pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di Kementerian yang berkenaan,” jelasnya.

Bagi pemohon individu yang tidak diluluskan, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.

Sementara pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu, sebelum mengemukakan permohonan Budi Madani.

Syarat-syarat kelayakan Budi Madani boleh didapati di https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan Budi Madani di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara emel di budimadani@treasury.gov.my

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!