SHAH ALAM - Seorang mahasiswi terperangkap di tempat penyimpanan barang bas dengan kedua-dua belah kakinya terjulur keluar dan terseret di atas jalan raya.
Lebih malang, kejadian itu hanya disedari pemandu bas lima minit kemudian sebelum bertindak menghentikan kenderaan terbabit.
Kejadian itu dikongsikan mangsa iaitu @shafiyyah_nurul di laman sosial X pada Selasa.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 2 Jun (Ahad) pada jam 9.30 malam, sebaik tiba di Terminal Bas Shah Alam, Seksyen 17 di sini dari Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru.
"Waktu itu saya sudah tiba di Shah Alam. Jadi, saya nak ambil beg di tempat penyimpanan di ruangan bawah bas. Tiba-tiba pintu tertutup dan saya (tubuh badan) masih lagi di dalam, namun kaki di luar.
Tambah @shafiyyah_nurul lagi, dia menjerit untuk meminta pertolongan, namun tiada sesiapa yang mendengarnya.
"Bayangkan, macam mana saya terseksa di bawah itu dengan betis tersangkut pintu, jari kaki bergesel dengan jalan raya,” keluhnya.
Penuntut universiti itu memberitahu, sebelum pemandu bas menyedari kejadian tersebut, dia sempat membuat panggilan telefon kepada ibu bapanya untuk meminta pertolongan.
Katanya, tidak lama kemudian, pemandu bas memberhentikan kenderaan di bahu jalan, lalu memarahinya kerana tidak meminta tolong untuk mengambil beg di tempat penyimpanan barang itu.
"Waktu itu saya meraung dan menangis sahaja tanpa melawan kata-kata pakcik itu (pemandu bas).
"Kemudian pakcik itu membawa saya ke klinik selepas menghantar penumpang lain di Klang,” katanya.
Susulan insiden berkenaan, @shafiyyah_nurul telah membuat laporan polis, namun dia tidak mengetahui tindakan selanjutnya yang boleh dilakukan untuk menuntut pampasan di atas kecederaan dialami akibat kecuaian pemandu bas itu.
Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas pemilik akaun X itu untuk perkembangan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!