[VIDEO] Penyelia ladang selamatkan juruterbang terima penghargaan polis

Iklan

TANJUNG MALIM - Sikap belas dan ihsan seorang penyelia ladang memeluk erat juruterbang dalam keadaan tergantung dan terbalik dalam nahas pesawat ringan di Sungkai, 4 Mei lalu menerima pengiktirafan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abdullah Abdul Talib, 37, menerima surat penghargaan disampaikan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir sempena perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan
Abdullah terharu menerima surat penghargaan daripada PDRM.

Ketika ditemui, bapa kepada dua anak itu menyifatkan tindakannya sebagai satu kewajiban dalam membantu orang dalam kesusahan.

"Saya bersyukur tindakan saya itu dapat membantu juruterbang tersebut daripada kecederaan lebih teruk.

Iklan

"Sesiapapun yang berada di tempat saya itu, sudah pasti akan lakukan perkara sama," katanya.

Abdullah bertindak memeluk juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea yang ketika itu dalam posisi tergantung dan tersepit selama hampir satu jam.

Abdullah merupakan saksi utama yang menemui bangkai pesawat ringan terhempas tersebut di sebuah ladang dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai.

Iklan

Sementara menanti bantuan pasukan penyelamat tiba, anak kelahiran Sabah itu memeluk juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea yang ketika itu dalam posisi tergantung dan tersepit selama hampir satu jam.

Abdullah yang telah sembilan tahun bekerja di ladang itu berkata, peristiwa itu membuatkan hubungannya dengan Shahrul Imran dan keluarga rapat dan sering bertanya khabar melalui telefon.

"Dulu semasa rawatan, ibu kapten ada hubungi saya maklumkan perkembangan kesihatan, nak masuk bilik pembedahan pun mereka beritahu.

"Kapten ada nyatakan hasrat, apabila sembuh nanti, dia dan keluarga nak datang berjumpa dengan saya," katanya sambil memberitahu ini kali pertama menerima penghargaan daripada polis.

Abdullah menerima surat penghargaan daripada PDRM disampaikan Mohd Hasni (kanan).

Sementara itu, Mohd Hasni berkata, penghargaan itu diberikan atas tindakan pantas Abdullah dalam memberikan bantuan awal hingga berjaya menyelamatkan dua nyawa.

"Kalau diikutkan cerita Abdullah, dia tidak sedar pun ada pesawat yang terhempas dan sebenarnya dia telah melepasi tempat pesawat itu.

"Keputusannya untuk berpatah balik sambil merakam telah menemui mangsa yang terperangkap," katanya.

Dalam nahas pesawat CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA sekitar jam 9.30 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita disahkan selamat.

Shahrul Imran, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih Le Ho Jia, 20, mengalami bengkak muka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!