Najib tak pernah bangkitkan isu tandatangan palsu

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membangkitkan apa-apa isu mengenai pemalsuan tandatangan beliau dalam beberapa dokumen berkaitan SRC International Sdn Bhd sepanjang peringkat perbicaraan pendakwaan.

Pendakwa raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram berkata, malahan pihak pembela tidak membangkitkan isu itu semasa saksi pendakwaan ke-39, mengenal pasti tandatangan bekas Perdana Menteri itu semasa kes pendakwaan pada tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Semasa kes pendakwaan itu, bekas pengerusi lembaga pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail telah mengenal pasti tandatangan Ahli Parlimen Pekan itu. Pihak pembela tidak pula mencabar pengenalpastian tandatangan Najib ketika itu.

"Tidak ada penyangkalan kenapa dia (Ismee) mengenal pasti ini adalah tandatangan Najib. Ini adalah peluang untuk membangkitkan isu berkenaan,” kata Sithambaram.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa pihak pendakwaan tidak menyembunyikan apa-apa atau cuba mempermainkan pihak pembela.

"Semua kad ada di atas meja. Kita bukan bermain poker di sini. Keadilan bukan satu permainan. Ini bukanlah kes yang kita tidak memberi mereka peluang. Kita tidak menolak mereka ke satu sudut... 57 hari, tiada satu patah perkataan pun mengenai pemalsuan. Jadi, mahkamah perlu menolak permohonan itu,” kata Sithambaram.

Iklan

Sithambaram juga berkata, sebagai Perdana Menteri negara ini ketika itu, Najib sepatutnya membuat laporan polis jika dia mendapati dokumen yang belum ditandatanganinya hingga melibatkan banyak perkara.

"Laporan polis perlu dibuat dan dicabar dengan serta merta kerana dipalsukan. Tetapi dia tidak berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada keperluan bagi mahkamah untuk memanggil pakar untuk menyatakan jika tandatangan di atas tujuh dokumen itu dipertikaikan oleh pembela sama ada ia tandatangan Najib ataupun tidak.

Beliau berkata, ini kerana Najib sebagai yang tertuduh sendiri boleh menyatakan sama ada tandatangan itu adalah miliknya.

"Di sini kita bercakap mengenai tandatangan. Najib dalam kedudukan untuk menyatakan sama ada ini adalah tandatangan beliau atau tidak. Tidak perlu panggil pakar. Beliau juga mengakui pada awalnya tandatangan itu adalah miliknya. Sekarang beliau mengubah pendiriannya,” katanya.

Menggulung penghujahannya, Sithambaram berkata, tertuduh mempunyai hak untuk mendapatkan sebarang bukti untuk pembelaannya, tetapi ia ada hadnya.

Ketua peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membalas bahawa dokumen SRC International yang terdapat tandatangan yang didakwa milik bekas Perdana Menteri itu diakui terdahulu ini dalam kaveat bahawa keasliannya boleh dicabar kemudian.

"Semasa peringkat perbicaraan pendakwaan tahun lepas, kita meletakkan kaveat pada dokumen berkenaan, bermaksud ia boleh ditanda sebagai bukti tetapi boleh dicabar.

"Ia ditanda P (tanda bagi bahan bukti dimasukkan dalam mahkamah). Yang Arif boleh merujuk keputusan sebelum ini," kata Muhammad Shafee, dan menambah bahawa tindakan pendakwaan menyekat pembelaan tertuduh boleh menimbulkan prejudis bagi kes ini.

Selepas mendengar hujah oleh kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu esok dan mengarahkan pendakwaan agar terus menyoal balas ke atas Najib.

Pada 9 Disember, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memanggil pakar tulisan dari Australia untuk mengkaji kesahihan beberapa dokumen yang terdapat tandatangan Najib yang dikemukakan ke mahkamah.

Pada tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintah Najib, 67, agar membela diri atas tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, termasuk tiga kes pecah amanah (CBT), tiga kes pengubahan wang haram dan satu kes menyalah guna kuasa dalam dana SRC.

Perbicaraan disambung di hadapan Hakim Mohd Nazlan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Najib mengaku catat 'bersetuju' pada surat permohonan pinjaman SRC