SEREMBAN - Penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kepada seorang individu berjumlah RM17,500 bagi tujuan membaik pulih rumah terbengkalai.
Bagaimanapun Saharudin Anuar Abu Hasan, 39, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Hafiza Ishak selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, orang kena saman (OKS) gagal mematuhi Award TTPM bertarikh 22 Mac 2022 yang memerintahkan Saharudin Anuar membayar RM17,500 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh serahan award.
Kesalahan itu dilakukan pada 28 Oktober 2022 di Pejabat TTPM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Seremban 2, di sini.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun tiada hukuman ditetapkan dan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Janawatul Fieza Hamisan memohon tarikh lain untuk sebutan fakta kes serta hukuman.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu lapor diri di Pejabat KPDN setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula pada 23 Julai 2024.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!