KEMENTERIAN Belia dan Sukan pada Khamis melancarkan kempen Team MAS sebagai satu gerakan nasional tanda sokongan ke atas para atlet yang akan mengalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 Julai depan.
Berbaki 50 hari menuju temasya terbesar dunia itu Team MAS merupakan jenama kebangsaan untuk mewujudkan sokongan secara kolektif dan sorakan rakyat Malaysia kepada 33 atlet melibatkan 18 atlet yang akan beraksi bermula 26 Julai, manakala 15 atlet bakal bersaing dalam Sukan Paralimpik bermula 28 Ogos.
Pelancaran itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang percaya dengan tema 'Kita Semua Team Mas' akan menyatukan seluruh rakyat Malaysia sebagai sebuah pasukan.
"Saya juga ingin menyeru kepada semua kementerian, agensi kerajaan serta syarikat-syarikat korporat untuk sama-sama kita menjayakan kempen ini. Sokongan anda semua amat kami hargai.
"Kepada semua atlet Malaysia, Team MAS ini adalah untuk anda! Teruslah berjuang dan menjadi idola serta penyuntik semangat kesukanan kepada anak-anak Malaysia. Kami sentiasa bersama anda!" katanya ketika berucap melancarkan kempen itu di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Hannah secara jujur menjelaskan bahawa pelancaran Team MAS bukan sekadar pelancaran, sebaliknya belum kering peluh para atlet untuk melayakkan diri dan belum habis penat lelah pihaknya dan para pegawai akan memastikan sokongan dan perkhidmatan yang diberikan mencukupi dan dapat menjadi sokongan yang terbaik untuk para atlet.
"Secara peribadi, saya amat menunggu hari ini (Khamis) kerana tak sabar rasanya untuk memperkenalkan pasukan Malaysia yang akan berjuang pada Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.
Beliau turut menjelaskan mengenai Program Road To Gold (RTG) yang dibangunkan bagi memastikan semua atlet berada dalam keadaan bersedia dan cemerlang.
Tambah beliau, inisiatif tersebut mengambil kira kemudahan fasiliti, perkhidmatan sains sukan serta perubatan serta program bina diri dan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM72 juta melalui Belanjawan 2024 untuk Program Podium.
"Ia termasuk RM20 juta untuk RTG sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Paris. Sehingga kini sebanyak RM9.7 juta telah dibelanjakan. Ini merangkumi pengurusan pusat latihan dan atlet termasuk elaun RTG, pendedahan kepada kejohanan, latihan dalam dan luar negara serta perubatan dan sains sukan," katanya.
Menurut Hannah, banyak usaha telah dilakukan bagi menyiapkan Team MAS menerusi penggabungan kepakaran sains sukan dan penyelidikan teknologi sukan berimpak tinggi di bawah inisiatif Institut Sukan Negara (ISN)sebagai centre of excellence (COE) teknologi sukan.
"Inisiatif ini telah menghasilkan basikal trek prestasi tinggi iaitu WX-R Vorteq. Saya percaya para pelumba kita terutamanya Datuk Azizulhasni Awang akan turun ke velodrom di Paris dengan penuh keyakinan kerana telah dilengkapkan dengan fasiliti bertaraf dunia.
"Penambahbaikan peralatan sukan memanah juga dilakukan melalui custom made grip," katanya.