Mike hanya berserah pada ALLAH

Iklan
Syarul yang mesra disapa Mike harap dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2023 pada 13 Jun ini. Foto Facebook Mike Mahen

"SAYA hanya berserah kepada ALLAH dan kalau menang Alhamdulliah,” kata jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah ketika mengulas senarai akhir Olahragawan Kebangsaan 2023.

Syarul yang mesra disapa Mike berkata, beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa berdoa agar rezeki berpihak kepadanya selepas gagal meraih gelaran tersebut dalam lima edisi lalu pada 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2022.

Iklan
Iklan

Juara dunia enam kali itu disenaraikan buat kali keenam bagi merebut anugerah berprestij tersebut pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) yang diadakan pada 13 Jun ini.

Bagaimanapun, Syarul bakal menerima tentangan hebat daripada empat calon lain antaranya atlet karate yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Arif Afifuddin Ab Malik.

Iklan

Jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Ng Eain Yow (skuasy) turut tersenarai dalam pencalonan akhir ASN 2023 yang menyaksikan peluang terbuka buat semua atlet.

"Sudah tentu ini (Olahragawan Kebangsaan) akan menjadi pelengkap karier saya selama 26 tahun dalam bina badan tapi saingan kuat-kuat belaka.

Iklan

”Apa pun, saya teringin juga nak menang Olahragawan Kebangsaan, harapnya kali keenam ini doa saya dimakbulkan.

"Kalau menang ia akan menjadi hadiah persaraan dan hari lahir terbaik buat diri saya,” ujar Syarul yang genap berusia 51 tahun pada Jumaat (7 Jun).

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan setiap tahun.

Sepanjang penglibatannya dalam bina badan, Syarul berjaya memenangi gelaran juara dunia dan juara Asia sebanyak enam kali serta merangkul pingat emas (kategori fizikal) di Sukan SEA Vietnam ke-31 pada 2022.

Pada 2022, Syarul juga dipilih sebagai Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Malaysia (SAM).

Sebagai rekod, kali terakhir atlet bina badan dipilih menjadi Olahragawan Kebangsaan adalah Sazali Samad pada 2014.

Gelaran Olahragawan sebelum ini menjadi milik bekas juara dunia beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik gimnas negara, Ng Joe Ee.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000 pada majlis ASN 2023 nanti.

ASN 2023 berlangsung di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) pad 13 Jun ini dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!