MELAKA - Gara-gara merakam aksi wanita dalam tandas, seorang tukang cuci warga Indonesia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Masjitret, di sini, pada Khamis.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Feri, 27, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah merakam seorang wanita berusia 24 tahun menggunakan telefon bimbit yang ketika itu mangsa sedang membuang air di dalam tandas.
Kesalahan itu dilakukan di di tingkat satu tandas sebuah kedai di Lorong Hang Jebat di sini, kira-kira jam 4.15 petang pada Ahad lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimana memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Bagaimanapun peguam, Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan sebanyak RM1,500 sebulan selain menanggung keluarganya di Indonesia termasuk empat orang adik masih belajar.
Sinar Harian pada Selasa lalu menyiarkan polis menahan individu itu selepas disyaki merakam seorang wanita dalam tandas kedai menjual biskut.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainal Samah berkata, dalam kejadian itu mangsa yang bekerja sebagai senior eksekutif logistik di Selangor telah menggunakan tandas tingkat satu premis itu.
Menurutnya, ketika berada dalam tandas tersebut, mangsa yang datang ke premis itu bersama rakan lelaki ternampak sebuah telefon bimbit di lubang dinding tandas sebelah kirinya ketika hendak memakai seluar sebelum memaklumkan insiden itu kepada pengurus kedai berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!