Kupang Port Dickson masih belum selamat dimakan - DOF

Iklan
Kupang di perairan Port Dickson masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak dibenarkan untuk dimakan. Foto hiasan

ISKANDAR PUTERI - Analisis sampel air dan kupang di perairan Port Dickson mendapati kandungannya masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak dibenarkan untuk dimakan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, analisis terbaharu mendapati bacaan toksinnya sudah semakin berkurangan dan menghampiri kadar piawaian standard yang ditetapkan iaitu 800 per bilion (ppb).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan berterusan mengambil sampel air dan kupang dari perairan tersebut pada setiap dua minggu bagi mengesan kewujudan biotoksin berbahaya.

"Pihak DOF akan terus menjalankan pemantauan sehingga bacaan kembali ke paras normal dan selamat untuk dimakan.

Iklan

"Kita juga membuat pengawasan bersama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Sehingga kini larangan terhadap pengusaha kupang atau kerang untuk menjual kerang-kerangan atau dwicengkerang dari Port Dickson masih terpakai demi keselamatan pengguna," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Rasa-rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor Tahun 2024 di Kompleks Jabatan Perikanan Negeri Johor di sini pada Khamis.

Pada 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid dilaporkan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson memaklumkan dua kes pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kes itu yang mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki serta lemah otot, membabitkan beberapa keluarga berbeza pernah makan kupang dibeli dari dua pasar di sekitar Port Dickson.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad berkata, bacaan pertama biotoksin bagi kes tersebut antara 20,000 hingga 30,000 ppb, melebihi kadar piawaian standard ditetapkan.

Katanya, bacaan terkini yang diambil adalah antara 900 hingga 1,000 ppb di beberapa kawasan di sekitar perairan itu dan menghampiri paras normal.

"Bagaimanapun, kita tidak mahu mengambil risiko dan larangan mengambil kerangan di kawasan itu masih berkuat kuasa kerana khuatiri menjejaskan kesihatan," katanya.

Tambahnya, kerajaan Negeri Sembilan dan Pusat telah memberi ganti rugi dalam bentuk tunai kepada kira-kira 45 penternak kerang-kerangan yang terjejas pendapatan disebabkan isu tersebut.

Jelasnya, pengusaha terbabit bukan penternak kerang-kerangan 100 peratus dan punca pendapatan utama mereka adalah hasil menangkap ikan.

"Situasi ini tidak menjejaskan pengeluaran kupang dalam negara kerana Port Dickson bukan pengeluar utama, Johor masih kekal pengeluar utama kupang di Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!