NIBONG TEBAL - Kementerian Komunikasi tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan menangkis penyebaran berita palsu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memang melakukan pemantauan di semua platform media sosial dalam usaha menangani pelbagai berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika musim pilihan raya.
"Kita sudah mempunyai pasukan yang akan memantau penyebaran berita palsu di pelbagai peringkat termasuk Kementerian Komunikasi, badan (agensi) kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Penerangan.
"Insya-ALLAH kita akan ada satu jawatankuasa (khas) PRK Sungai Bakap nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap, di sini pada Khamis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan hari penamaan calon pada 22 Jun manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada Pas pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menyangkal dakwaan kononnya PRK menjadi medan kerajaan memberikan ‘gula-gula’ termasuk PRK Sungai Bakap yang dilihat menjadi lokasi tumpuan menteri.
Beliau berkata, lawatannya ke Pulau Pinang hari ini untuk menyampaikan warkah persilaan kepada Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Memang menteri-menteri akan sentiasa berada di lapangan berdasarkan arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya menteri sentiasa turun padang untuk melihat keadaan dan berusaha menyelesaikan masalah (rakyat), kami akan terus berkhidmat tidak kira tempat," katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!