KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak pembelaan Ebit Lew memberitahu bahawa, pasukan pendakwaan tidak akan meneruskan kes rogol wanita warga Indonesia, Mondy Tattoo terhadap pendakwah terkenal itu.
Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkata, pihak polis telah menyiasat kes berkenaan namun pendakwaan memutuskan kes berkenaan tidak akan diteruskan.
"Ebit tidak akan dituduh di mahkamah malah barang kes antaranya telefon bimbit dan kad sim milik anak guam saya, telah dipulangkan semalam.
"Saya sebagai peguamnya, telah dimaklumkan sendiri oleh pihak polis pada hari yang sama," katanya.
Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan sangat serius maka pihaknya telah memfailkan saman fitnah terhadap wanita itu dan Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 1 Julai ini untuk taksiran ganti rugi.
Katanya, kes ini menyebabkan nama baik Ebit, rosak kerana difitnah.
Kontroversi melibatkan Ebit dan Caprice bermula pada 15 September tahun lalu, selepas Mondy membuat pendedahan bahawa dirinya yang menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki berperwatakan alim.
Menerusi temu bual di siaran podcast Caprice, wanita itu menyebut mengenai perkara berkenaan sehingga mengaitkan nama Ebit.
Susulan itu, pada 21 September tahun sama, pihak polis memanggil seramai 13 individu untuk membantu siasatan kes terbabit.
Sehari kemudian, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice dan Mondy Tatto atau nama sebenarnya, Rita Restu Amanda.
Pada 11 Oktober 2023, Ebit berjaya mendapatkan perintah injunksi di Mahkamah Sesyen Shah Alam supaya Caprice dan Mondy memadamkan rakaman di laman Youtube Nustix.com The Podcast Show dan lima video di Instagram penyanyi rap itu dalam tempoh 24 jam.
Ebit memperoleh perintah injunksi itu bagi menghalang dua individu berkenaan daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan ugutan terhadap penceramah bebas itu, keluarga serta rakan-rakannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!