BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras berjumlah lebih RM1 juta termasuk duti dan cukai dipercayai cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, pada 17 Mei lalu.
Pengarahnya, Roselan Ramli berkata, kejayaan itu hasil risikan selama dua minggu yang dibuat oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang sebelum menahan sebuah kontena.
Menurutnya, semakan dibuat mendapati kontena yang berasal dari negara Asia Timur itu mengikrarkan dagangan berkenaan berisi perabot pejabat namun selepas pemeriksaan lanjut dibuat pihaknya menemukan 52,800 tin minuman keras.
"Hasil pemeriksaan rapi terhadap kontena terbabit menemukan 52,800 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam bersamaan dengan 26,400 liter melibatkan nilai anggaran RM216,480 dan cukai berjumlah RM785,410.
Roselan berkata, siasatan lanjut yang dilakukan mendapati pemilik barang dagangan terbabit menggunakan maklumat syarikat palsu selain tidak wujud alamat pejabat di negara ini.
Ditanya mengenai pasaran minuman keras berkenaan, beliau berkata bir terbabit bukan dijual untuk pasaran tempatan selain mendapati kadar alkohol pada tin minuman itu melebihi daripada kadar yang dibenarkan di negara ini.
"Siasatan lanjut masih kita teruskan bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab dengan barang dagangan ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!