SYARIKAT teknologi kewangan patuh syariah, Xanderia Services Sdn Bhd (Xanderia) menerima pengiktirafan sebagai syarikat status Digital Malaysia oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengerusinya, Razi Pahlavi berkata, pengiktirafan sedemikian secara tidak langsung meletakkan syarikat itu sebagai perintis digital di negara ini.
"Ia turut memberi kuasa kepada kami untuk memupuk bakat melalui latihan lanjutan dan akses kepada kumpulan yang berkualiti selain meningkatkan keupayaan digital dengan perundingan pakar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu Razi menjelaskan, Xanderia merupakan syarikat penentu aliran sektor teknologi kewangan Islam yang menjadi segmen khusus untuk berkembang dalam landskap ekonomi digital.
Menurutnya, syarikat itu sentiasa berusaha merevolusikan landskap kewangan sejak penubuhannya tahun 2020 sehingga berjaya mengembangkan perniagaan ke Indonesia tahun ini.
"Misi kami adalah menjadikan pembiayaan patuh syariah boleh diakses oleh semua orang, seiring visi untuk menjadi penyedia perkhidmatan digital pilihan di seluruh Asia Tenggara.
"Dengan menyediakan penyelesaian kewangan patuh syariah yang boleh diakses, berpatutan dan mudah, Xanderia bukan sahaja memenuhi keperluan serta keutamaan pelanggan, tetapi mempromosikan nilai dan prinsip kewangan Islam,” ujarnya.
Status Digital Malaysia merupakan program pengiktirafan dan sokongan dari MDEC untuk syarikat yang berjaya mengaplikasikan teknologi digital dan menyumbang kepada ekonomi digital.
Program tersebut bertujuan untuk mempamer dan meraikan pencapaian di samping memberi akses kepada pelbagai faedah seperti peluang rangkaian, pasaran, kemudahan pembiayaan, pembangunan bakat dan sokongan penggunaan digital.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!