SHAH ALAM - Setelah melabur RM4.7 juta, seorang pesara baru tersedar dirinya diperdaya pelaburan tidak wujud apabila gagal mengeluarkan wang keuntungan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia 63 tahun membuat laporan polis berkaitan kes pelaburan tidak wujud itu pada Khamis, jam 12.32 pagi di Balai Polis Seksyen 9, di sini.
Beliau berkata, bekas pesara syarikat swasta itu pada mulanya melihat iklan pelaburan di laman sosial Facebook berkenaan pelaburan saham pada pertengahan Mac lalu.
Kata beliau, mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diminta untuk membuka satu akaun pelaburan iaitu Foreign Direct Investment (FDI) Hub bertujuan untuk melabur dalam pasaran saham tempatan.
"Pengadu dijanjikan keuntungan sebanyak 11 hingga 13 peratus daripada nilai pelaburan dibuat dan semakin lama pengadu membuat pelaburan semakin meningkat kadar peratusan keuntungan diperoleh.
"Pengadu tertarik dengan pelaburan yang menguntungkan tersebut dan seperti diarahkan, pengadu telah membuka akaun dengan FDI Hub.
"Mangsa telah membuat 42 transaksi sehingga jumlah pembayaran sebanyak RM4.7 juta bermula Mac sehingga penghujung bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Iqbal berkata, setelah keuntungan mencapai sebanyak RM11.3 juta, mangsa mahu membuat pengeluaran wang daripada sistem FDI HUB, namun mendapati tiada sebarang kemasukkan duit ke akaun bank miliknya.
Berhubung kes tersebut, menurut beliau, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan saham, Cryptocurrency atau apa sahaja jenis pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian melalui media sosial yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan besar dalam masa singkat.
"Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM)," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!