SHAH ALAM - Kerajaan akan menaik taraf dan memperkukuhkan portal digital Malaysia.gov.my iaitu ‘MyGovernment’ dengan lebih paparan penyediaan perkhidmatan melalui bantuan semua kementerian di negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, usaha pemerkasaan portal yang telah dilancarkan pada 2018 itu bertujuan bagi memudahkan interaksi antara masyarakat dan agensi-agensi kerajaan.
"Kerajaan Madani sentiasa terbuka untuk menerima input dari semua pihak untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan kerajaan.
"Oleh itu, orang ramai juga dijemput untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan perkhidmatan digital kerajaan dengan menamakan perkhidmatan secara terperinci dan cadangan pembaikan untuk perkhidmatan itu kepada Jabatan Digital Negara melalui pautan www.jdn.gov.my atau www.mydigital.gov.my sehingga 6 Julai 2024 ini.
"Semua cadangan penambahbaikan akan diteliti serta langkah-langkah penambaikan diambil oleh Jabatan Digital Negara bersama jabatan atau kementerian terlibat dalam usaha bersama untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan portal digital negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, ujar Gobind, Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara telahpun melaksanakan pelbagai usaha proaktif termasuk mengadakan siri libat urus secara berkala dengan Ketua Pegawai Digital di semua peringkat dan pihak lain yang berkepentingan.
Menurutnya, langkah itu bagi bagi memastikan prestasi pendigitalan di negara ini berada pada tahap yang memuaskan.
"Ketua Pegawai Digital perlu berikan keutamaan dan memastikan inisiatif pendigitalan di agensi masing-masing memenuhi keperluan kumpulan sasar.
"Pelaporan pendigitalan sektor awam juga perlu dimuat naik di portal Jabatan Digital Negara dan media sosial bagi memberikan informasi terkini bagi pengetahuan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, ulas beliau, transformasi penyampaian perkhidmatan digital kerajaan perlu lebih memberi fokus kepada pengalaman pelanggan serta berasaskan kepada pendekatan keseluruhan kerajaan secara bersepadu dan merentas agensi.
"Anjakan baharu ini memperlihatkan usaha proaktif kerajaan dalam melonjakkan perkhidmatan digital kerajaan melalui konsep ‘Digital First’ dalam tempoh enam bulan iaitu pada Jun sehingga Disember 2024 dan seterusnya.
"Antara fokus dalam anjakan strategi ini adalah saluran digital bersepadu kerajaan berdasarkan pengalaman pelanggan.
"Impak islah yang dilihat melalui pendekatan terkini ini dapat memberikan nilai tambah kepada 4 kumpulan sasar kerajaan iaitu rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan penjawat awam,” jelasnya.