PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bercadang untuk melakukan penjenamaan semula dengan memasukkan perkataan koperasi dalam kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, cadangan penjenamaan itu akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet esok untuk mendapatkan persetujuan dan kelulusan.
"Jika jemaah menteri menyokong cadangan ini, penjenamaan nama MED akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC)
"Proses penjenamaan ini adalah penting kerana MED mendapat maklum balas daripada warga koperasi yang hari ini saya sendiri menyarankan kepada mereka supaya menjadi jentera utama untuk memacu perkembangan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran program Ke Arah Kemakmuran Bersama dan Lima Teras Strategik Institut Koperasi Malaysia (IKM) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat dan kakitangan IKM.
Mengulas lanjut katanya, penjenamaan tersebut juga adalah untuk memberi rangsangan kepada warga koperasi supaya relevan sebagai satu masyarakat yang mahu dibangunkan dan bergiat dalam bidang keusahawanan.
Dalam masa sama, Mohd Redzuan menjelaskan, penjenamaan semula itu tidak membabitkan sebarang kos kepada kementerian.
"Hanya tambah nama di depan, tiada kos akan terbabit,” katanya.
Sementara itu Ariffin berkata, bermula tahun ini, penyediaan program latihan di IKM dibuat secara bersasar dan lebih berfokus dengan mengenal pasti pulangan yang diharapkan daripada setiap program yang dirancang.
Katanya, selain informasi berkenaan program latihan 2020, perkongsian pengalaman bersama usahawan berjaya turut menjadi pengisian dalam program tersebut.
"Program keusahawanan seperti ini amat relevan dan memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) di mana perniagaan dan keusahawanan mampu menjadi sumber pendapatan dan pekerjaan utama kepada masyarakat," katanya.
Terdahulu, program anjuran IKM itu yang menyasarkan 20 lokasi seluruh negara merupakan inisiatif baharu untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada gerakan koperasi di lapangan, selain menawarkan latihan dan bimbingan kepada koperasi.