PRETORIA - Seorang lelaki pro-Zionis tergamak menyerang sebuah keluarga Afrika Selatan hanya kerana menentang pandangan mereka terhadap Palestin.
Halima Hoosen-Preston maut ditikam di kediamannya di Durban pada akhir minggu lalu manakala suami dan anak lelakinya yang berusia 14 tahun cedera parah akibat serangan ganas tersebut.
Suspek dikenali sebagai Grayson Beare, 44, telah berdepan tuduhan membunuh dan dua dakwaan cubaan membunuh.
Siasatan awal mendapati Beare menikam mereka kerana keluarga itu pro-Palestin.
"Polis yang bergegas ke rumah keluarga itu menemui suspek memegang pisau berlumuran darah manakala wanita berkenaan terbaring di lantai dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," ujar jurucakap polis.
Kes tersebut ditangguhkan pada Selasa depan dan Beare diarahkan menjalani pemeriksaan mental.
Afrika Selatan yang mengetuai langkah mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berdepan beberapa insiden serangan ke atas penyokong pro-Palestin.
Pada April lalu, sebuah rakaman menjadi tular menunjukkan dua lelaki yang membawa bendera Palestin menyerang aktivis wanita di Cape Town. - Agensi