GOMBAK - Sembilan penduduk di Kampung Sri Makmur di sini merayu kerajaan Selangor memberi maklum balas segera berhubung rayuan penempatan selepas rumah mereka dirobohkan pada 27 Mei lalu.
Pengerusi Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa berkata, pada ketika ini, penduduk terlibat masih bergantung harap dengan kerajaan negeri meskipun sebahagiannya sudah dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurutnya, rata-rata penduduk yang terkesan berpendapatan rendah dan mereka bimbang sekiranya tiada jaminan penempatan daripada kerajaan negeri.
"Semua sembilan penduduk terjejas telah menghantar surat rayuan sehari selepas perobohan rumah dilakukan, namun sehingga kini masih tiada maklum balas daripada kerajaan negeri.
"Penduduk berharap kerajaan negeri memudahkan mereka mendapatkan rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Noora menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya beliau menyewakan tujuh pintu rumah di kampung itu kepada warga asing.
Noora berkata, rumah itu bukan miliknya, sebaliknya kepunyaan Allahyarham ibunya dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah berkenaan.
"Saya hanya membantu penduduk menguruskan rayuan dan permohonan mereka kepada kerajaan negeri dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam isu ini.
"Apa yang lebih penting, saya ingin memastikan mereka (sembilan penduduk tercicir menerima bantuan daripada kerajaan) terbela.
"Apa yang tular itu jelas satu fitnah berniat jahat yang menjatuhkan imej dan mengancam keselamatan saya dan perkara ini diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut," ujar beliau.
Sinar Harian pada 28 Mei lalu melaporkan, sembilan keluarga di Kampung Sri Makmur merupakan penduduk asal yang telah menetap lama di kampung terbabit telah diarahkan berpindah.
Ia bagi membolehkan kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan dan pembangunan kondominium di kawasan berkenaan.
Terdahulu, penduduk yang terlibat sebelum ini telah menerima notis untuk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu, namun telah ditangguhkan sehingga Ahad lalu.
Hanya 21 keluarga mendapat tawaran pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan cek pampasan sebanyak RM1,000.
Pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, baki keluarga yang mendakwa terkesan dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak, perlu membuktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula selain tidak menerima pampasan daripada mana-mana pihak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!