Projek rintis Dasar Gaji Progresif disasar dilaksana dalam tempoh setahun

Iklan
Steven (tengah) semasa sesi dialog bersama peserta pada Sesi Town Hall Projek Rintis Dasar Gaji Progresif di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Khamis. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed (kanan). Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk melaksana Projek rintis Dasar Gaji Progresif sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, kementerian itu akan membuat penilaian dan pelarasan bagi perkara berkaitan pelaksanaan projek rintis tersebut termasuk prosedur pendaftaran selain mendapatkan maklum balas peserta dan pemegang taruh pada September ini.

Iklan
Iklan

"... hasrat kita adalah untuk meneruskan Dasar Gaji Progresif ini sebagai antara mekanisme bagi menambah baik kadar upah atau gaji pekerja di Malaysia.

"Meskipun (projek rintis Dasar Gaji Progresif) ini dihentikan, kadar (gaji) yang telah ditetapkan dalam syarat itu adalah kadar yang munasabah dan memang boleh ditanggung tetapi paling penting, kita nak lihat kepada kejayaan dasar ini sebagai antara usaha untuk meningkatkan gaji pekerja," katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Projek Rintis Dasar Gaji Progresif, di sini pada Khamis.

Iklan

Projek rintis itu dijalankan sebelum Dasar Gaji Progresif, yang menyasarkan peningkatan gaji dan pengagihan pendapatan lebih seimbang, dilaksanakan secara menyeluruh.

Dasar Gaji Progresif dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari peningkatan produktiviti.

Iklan

Kerajaan menyasarkan pembabitan 1,000 syarikat dalam projek rintis ini meliputi lima sektor iaitu pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Steven berkata, setakat ini, kira-kira 500 majikan telah mendaftar dan memohon menyertai projek rintis itu sejak pendaftaran dibuka pada 1 Jun lepas manakala keputusan selepas penilaian dalaman oleh kementerian kepada majikan bagi menyertai projek itu akan diberikan dalam masa terdekat.

Berdasarkan data statistik majikan berdaftar melalui Portal ASSIST PERKESO hingga 29 Mei 2024, sebanyak 290,659 majikan layak memohon insentif tunai melalui Dasar Gaji Progresif dengan anggaran 6,335,971 pekerja sektor formal menerima gaji antara RM1,500 dan RM4,999 sebulan.

Ditanya mengenai pemberian subsidi kepada majikan yang menyertai projek itu, Sim berkata mereka perlu memahami subsidi yang diberikan bukan penyelesaian jangka panjang bagi isu gaji sebaliknya bertujuan membantu syarikat menjadi lebih berdaya saing.

"Kita memberikan subsidi atau bantuan untuk membantu industri perusahaan kecil dan sederhana kita berkembang lebih maju.

"Bila dia dapat tawarkan gaji yang lebih tinggi melalui subsidi Dasar Gaji Progresif maka dia akan dapat pekerja yang lebih kompeten, mahir dan cekap dengan kadar produktiviti lebih tinggi, dengan itu perniagaannya akan berkembang serta mampu terus mewujud dan memberikan peluang pekerjaan dengan gaji kompetitif walaupun tanpa subsidi," katanya.

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk garis panduan penuh pelaksanaan dan mendaftar bagi memanfaatkan insentif itu boleh melayari laman sesawang https://www.gajiprogresif.gov.my/. -- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!